Logo PUNB

KUALA LUMPUR – Perbadanan Usahawan Nasional Berhad mempelawa siswazah bumiputera berusia 30 tahun ke bawah yang berminat dalam bidang keusahawanan untuk merebut dana berjumlah RM3.5 juta menerusi Program JumPER GREAT (Graduate Entrepreneurship Training) dan Geran Dana Pembangunan Alumni JumPER bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, program JumPER GREAT menawarkan program latihan keusahawanan digital kepada siswazah bumiputera di negara ini.

Menurut beliau, sebanyak RM3.5 juta dana diperuntukkan untuk program ini meliputi elaun, geran permulaan, latihan, pemantauan dan konsultasi perniagaan.

“Penyertaan bagi program ini terhad kepada 300 peserta sahaja dan mereka yang layak akan menyertai latihan selama tiga bulan, diberikan elaun bulanan serta layak menerima Geran Dana Permulaan Perniagaan untuk menjalankan peniagaan secara dalam talian.

“Sekiranya peserta tidak mempunyai produk untuk dipasarkan, PUNB akan mengadakan padanan perniagaan dengan menghubungkan peserta dengan syarikat terpilih bagi membolehkan mereka memasarkan produk syarikat tersebut di platform niaga peserta. PUNB juga akan menjalankan pemantauan dan memberi khidmat nasihat bagi memastikan teknik pemasaran yang dipelajari akan dipraktikkan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Izwan berkata, inisiatif ini diperkenalkan untuk menyemarakkan budaya keusahawanan dalam kalangan belia Bumiputera sekali gus meningkatkan penyertaan usahawan yang lebih berkualiti dan mahir dalam penggunaan teknologi digital.

“Selain itu, tujuan inisiatif ini diwujudkan untuk menggalakkan golongan belia menjadikan sektor perniagaan sebagai kerjaya pilihan bukannya sebagai sumber untuk menambahkan pendapatan semata-mata. PUNB mahu memberikan pendedahan yang inklusif kepada golongan belia dan menjadikan keusahawanan sebagai satu budaya,” katanya.

Sementara itu, Izwan berkata, inisiatif kedua yang diperkenalkan PUNB ialah GeranPembangunan Alumni JumPER, khas untuk Alumni JumPER PUNB yang menamatkan latihan dari tahun 2020 hingga 2023.

Katanya, seramai 546 alumni JumPER layak memohon geran dana pembangunan sehingga RM15,000 untuk setiap syarikat.

“Inisiatif untuk Alumni JumPER PUNB ini adalah tanda sokongan dan galakkan PUNB untuk terus memperkasakan usahawan muda bumiputera khususnya Rakan Usahawan PUNB,” katanya.

Permohonan untuk menyertai JumPER GREAT dan Geran Pembangunan Alumni JumPER dibuka bermula hari ini hingga 16 Oktober 2023. Permohonan boleh dibuat secara dalam talian di portal rasmi PUNB, www.punb.com.my. Ikuti akaun rasmi sosial media PUNB @punbofficial untuk mendapatkan maklumat lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast