Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Parti Pas didakwa teramat bangga kerana lima jawatan utama tiada pertandingan.

Oleh itu, Pas mendabik dada ia adalah parti paling stabil, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Puad Zakarshi.

Namun, sebenarnya, kata beliau, budaya “taksub” pada pemimpin yang menjadi punca kenapa tidak ada siapa yang berani bertanding lima jawatan teratas itu.

Dakwa beliau, ahli Pas taksub tahap tinggi.

“Pada mereka kejayaan gelombang hijau adalah kerana kehebatan luar biasa lima pemimpin teratas itu.

“Mereka jadi takut menyanggah lima orang tersebut. Takut dituduh kacau daun dan menentang Islam.

“Taksub mereka melampaui batas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Apa tidaknya, pemimpin mencarut, celupar, kuat bohong dan tidak konsisten ditaati membabi buta,” tuduh beliau lagi sambil membayangkan sampai masanya nanti Pas akan pecah.

Baru-baru ini, Setiausaha Agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan lima jawatan tertinggi Pas iaitu presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden tidak akan dipertandingkan pada Muktamar Tahunan PAS ke-69 yang dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober ini.

Ini kerana hanya ada masing-masing satu pencalonan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden manakala satu daripada empat calon naib presiden telah menarik diri.

Jawatan Presiden Pas ketika ini dipegang oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast