Amizar Abu Adam. Foto MOHD ADZLAN, 23 SEPTEMBER 2023.

BENTONG – Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai kini lebih realistik bagi memastikan nasib mereka terbela dan terus membangun di bawah Barisan Nasional (BN).

Calon Barisan Nasional (BN) pada Pilhan Raya Kecil (PRK) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam berkata, lawannya dari  Perikatan Nasional (PN) dilihat terdesak bagi menawan tiga kawasan Felda dan lapan buah perkampungan sehingga sanggup menimbulkan persepsi negatif terhadap BN.

Katanya, PN masih tercari-cari indentiti apabila menggelarkan gabungan BN-PH sebagai UMNO-DAP sedangkan ia adalah gabungan parti besar antara BN dan Pakatan Harapan (PH) di bawah Kerajaan Perpaduan.

”Mereka akan lagi mundur sekiranya memilih PN kerana tiada apa yang boleh dilakukan oleh PN yang bukan kerajaan sealiran persekutuan. Kemenangan sekali pun tidak akan ubah struktur kerajaan negeri.

”PN masih menggunakan modus operandi menghidupkan stigma kepada pengundi Pelangai sebagai usaha menembusi kubu kuat Barisan Nasional (BN) di sini.

”Setelah berkempen  13 hari, pengundi sudah boleh membaca gerak geri dan menangkis stigma yang dimainkan bagi membolak-balikkan hati pengundi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Amizar berkata, segala bentuk kempen seperti ceramah, lawatan atau hantaran media sosial sudah dihadam dan ditapis pengundi bagi menentukan hala tuju Pelangai.

”BN dilihat ke hadapan dan konsisten dalam menyampaikan hasrat bagi meneruskan kesinamubungan legasi di Pelangai bersama di bawah kepimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

”Elemen perpaduan antara parti dapat dilihat apabila pimpinan antara parti -parti bergabung menghidupkan jentera ketika berkempen seperti UMNO, Amanah, PKR dan DAP,” ujarnya.

Jelasnya masyarakat Cina, India, Orang Asli selain pengundi Melayu selain generasi Felda masih utuh bersama BN di bawah kerajaan Perpaduan.

Sementara itu Amizar membidas dakwaan beliau bukan pengundi di kawasan Pelangai.

”Saya baru tahu dicalonkan di Pelangai. Cikgu Kasim dia memang bertanding di sini (Pelangai) dulu jadi mengundi di sini.

“Dulu saya kan bertanding di Ketari, jadi pemilih di sana. Namun saya mengikut undang-undang SPR, kita tidak boleh menyalahi undang-undang, alamat tetap saya di sini Chemomoi,” ujarnya. – MalaysiaGazette