Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof .

KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memutuskan pembatalan penarikan balik tauliah mengajar agama Islam terhadap Ustaz Dusuki Abdul Rani yang telah dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berdasarkan alasan ketidakpatuhan prosedur.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, keputusan MAIS untuk menarik balik tauliah mengajar agama Islam terhadap Ustaz Dusuki Abdul Rani ini dibuat selaras dengan titah Sultan Selangor yang berkaitan dan berdasarkan maklumat tentang status keaktifannya dalam parti politik termasuk tapisan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia.

Menurutnya, keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam itu sama sekali tidak menyentuh dan tidak mempersoalkan penarikan balik tauliah atas titah Sultan Selangor yang tidak memperkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik.

Justeru, titah Sultan Selangor ini masih berkuat kuasa di Negeri Selangor.

“Dalam hal ini, MAIS memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam tersebut atas alasan, antara lain, rayuan yang difailkan ini hanya bersifat akademik semata-mata kerana tempoh tauliah mengajar agama Islam Ustaz Dusuki Abdul Rani telah pun tamat pada 30 Jun 2023.

“Seterusnya, merujuk kepada keputusan isu penarikan balik tauliah mengajar agama Islam melibatkan penceramah Ustaz Abdullah Khairi, MAIS menegaskan bahawa keputusan Jawatankuasa Tauliah MAIS tersebut juga dibuat selaras dengan titah Sultan Selangor yang sama berhubung larangan pemberian tauliah mengajar agama Islam kepada mana-mana aktivis politik.

“Tindakan penarikan balik tauliah ini dibuat mengikut Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 dan pemegang tauliah yang terkesan diberi ruang untuk membuat rayuan kepada MAIS,” katanya dalam kenyataan di sini.

Oleh itu, Abdul Aziz menyeru menu semua pihak agar tidak mempolitikkan isu penarikan balik tauliah mengajar agama Islam.

Sebaliknya, semua pihak perlu menghormati titah Sultan Selangor yang tidak memperkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik kerana dikhuatiri ia boleh disalahgunakan untuk kepentingan mana-mana parti politik yang akhirnya akan membawa kepada fitnah, perselisihan dan perpecahan umat Islam di Negeri Selangor serta mencemarkan agama Islam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast