KUALA LUMPUR – Bagi merancakkan perkembangan industri halal negara, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kewujudan 25,000 peluang pekerjaan baharu.
Ahmad Zahid berkata, langkah komprehensif itu dilihat bagi mengukuhkan sektor halal di negara ini.
“Dalam kerjasama strategik kami dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kami menyasarkan untuk meningkatkan tahap piawaian makmal dan memupuk lebih ramai pakar yang berdedikasi dalam pengeluaran sijil halal,” kata Ahmad Zahid ketika merasmikan program Halal On Track di Universiti Malaya (UM) hari ini.
Hadir sama adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwak Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Perkasa Pensijilan, Industri Halal Negara berkata, pihaknya sedang giat menjalinkan bekerjasama dengan institusi-institusi lain untuk membentuk generasi baru graduan yang berkemahiran dalam pengurusan halal di bawah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Graduan ini bersedia untuk memenuhi permintaan yang meningkat untuk kepakaran dalam industri halal. Jawatan ini merangkumi peranan sebagai juruaudit dan pengamal industri halal, yang muncul hasil usaha sama dengan Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya lagi.
Pertumbuhan pekerjaan yang memberangsangkan itu menunjukkan potensi industri halal menyumbang dengan ketara kepada pembangunan ekonomi Malaysia.
Beliau berkata, kedua-dua orang Islam dan bukan Islam boleh bekerjasama secara harmoni dalam industri halal.
“Ini adalah produk dan keutamaan kami, dan marilah kami bergerak ke hadapan untuk bekerjasama,” tambahnya.
Jun lalu, Dr Mohd Na’im berkata industri halal di Malaysia dilihat terus berkembang apabila jualan makanan halal dijangka mencapai RM50 bilion pada tahun ini, sekali gus berpotensi mencapai status pusat industri halal global. – MalaysiaGazette