Seramai 53 warga asing dan tiga tekong darat yang dicekup dalam operasi serbuan di Olak Lempit, Banting oleh PGA pada 6 Oktober lalu. Foto ihsan IPD Kuala Langat.

KUALA LUMPUR – Kedudukan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan berdekatan sebuah rumah sewa di Olak Lempit, Banting membawa kepada pembongkaran aktiviti sindiket penyeludupan migran.

Rupa-rupanya ia menjadi tempat migrain bersiap sedia di tepi laut sebelum cuba meloloskan diri ke negara asal mereka secara haram.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, pada 6 Oktober lalu, sepasukan pegawai daripada Batalion 4, Pasukan Gerakan Am Semenyih membuat pemerhatian selama 30 minit terhadap kenderaan itu sebelum menahan tiga suspek lelaki warga asing disyaki tekong darat yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran itu.

Katanya, polis menjalankan soal siasat ke atas ketiga-tiga suspek warga asing itu yang telah tinggal lebih masa di negara ini serta dua daripada tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sebelum menyerbu sebuah rumah sewa jenis lot panjang yang terletak di kawasan Olak Lempit.

“Hasil pemeriksaan dalam rumah sewa itu, polis telah berjaya menahan seramai 53 warga asing yang terdiri daripada 45 lelaki dan lapan perempuan yang disyaki sedang menunggu masa untuk meninggalkan negara secara tidak sah.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kesemua PATI berkenaan mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah kepada pihak berkuasa dalam serbuan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Ridhwan, hasil soal siasat lanjut yang dijalankan mendapati tiga daripada tangkapan itu merupakan tekong darat yang memainkan peranan memindahkan kesemua PATI untuk memasuki dan meninggalkan negara secara haram menggunakan laluan laut di kawasan Banting.

Rumah sewa lot panjang itu disyaki menjadi transit mereka bersembunyi daripada dihidu pihak berkuasa sebelum melarikan diri meninggalkan Malaysia secara tidak sah.

Pada masa yang sama, katanya, seramai 53 lagi PATI yang ditahan dalam rumah itu mengaku sedang bersiap sedia dan bersembunyi di situ untuk keluar meninggalkan negara ini ke negara asal mereka menggunakan jalan laut secara haram.

“Kesemua suspek telah berjaya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Banting untuk tindakan lanjut.

“Hasil semakan juga mendapati kesemua tahanan adalah berusia lingkungan 17 hingga 56 tahun dan polis berjaya melakukan rampasan sebuah kenderaan yang digunakan tekong darat serta dua unit telefon bimbit untuk membantu siasatan lanjut polis.

“Polis sedang meneruskan siasatan jumlah bayaran yang dikenakan tekong darat ke atas setiap warga asing itu untuk pulang ke negara asal secara haram dan mereka memang merancang untuk meninggalkan negara pada hari kejadian tersebut melalui laluan laut itu.

“Tiga tekong darat itu direman selama 28 hari manakala 53 lagi PATI direman selama 14 hari di lokap Balai Polis Banting di IPD Kuala Langat untuk siasatan di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun dan denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

“Mereka juga disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tidak mempunyai dokumen perjalanan diri,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette