Warga emas maut dalam kemalangan membabitkan treler di Kilometer 158 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Jawi, Pulau Pinang hari ini.

BATU KAWAN – Seorang warga emas maut selepas kenderaan yang dipandunya terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah treler di Kilometer 158 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Jawi di sini hari ini.

Mangsa, R. Thamudoran, 63, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan teruk pada anggota badan.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap, Mohd Faizal Khan Mohd Hasan berkata, pihaknya terima panggilan kecemasan pukul 1.45 pagi yang memaklumkan sebuah pacuan empat roda jenis Perodua Kembara terlibat kemalangan dengan sebuah treler.

“Sepasukan anggota bergegas ke lokasi sebelum mendapati seorang warga emas tersepit pada bahagian pemandu pacuan empat roda tersebut.

“Semakan mendapati lelaki itu tersepit pada bahagian kaki dan pegawai perubatan yang hadir di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

“Susulan itu, kita melakukan size up dan kerja-kerja menyelamat dengan menggunakan peralatan khas dengan bantuan BBP Nibong Tebal,” katanya dalam kenyataaan hari ini.

Tambah beliau, mangsa berjaya dikeluarkan pukul 2.15 pagi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi tamat pukul 3.01 pagi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast