Mustapha Sakmud
Mustapha Sakmud

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM) belum bersedia melaksanakan sistem e-Wages pada waktu ini.

Timbalan Menterinya, Mustapha Sakmud berkata, pelaksanaannya perlu diperhalusi dan diteliti dengan pihak berkepentingan demi memastikan tidak menyebabkan implikasi negatif kepada pekerja.

“Untuk makluman, berdasarkan perkembangan teknologi digital seperti, dengan izin, Block Chain dan pelbagai sistem lain, maka cadangan pelaksanaan e-Wages perlu diperhalusi dan dibincangkan semula pihak berkepentingan seperti Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kewangan.

“Sehubungan itu, Kementerian Sumber Manusia memerlukan masa untuk membuat penelitian dan perbincangan lanjut dengan pihak-pihak berkaitan termasuk pihak Bank Negara Malaysia berhubung pelaksanaan sistem e-Wages,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri Saravanan berkenaan status pelaksanaan sistem tersebut selepas ditangguhkan sebelum ini.

Menurut Sivakumar, pelbagai implikasi akan wujud khususnya terhadap pekerja sekiranya sistem e-Wages dilaksanakan tanpa penglibatan institusi kewangan.

“Ini kerana beban pembuktian akan jatuh di pihak pekerja sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan majikan dari segi pembayaran gaji.

“Seperti yang semua sedia maklum, upah pekerja-pekerja di sektor swasta perlu dibayar melalui akaun bank, secara tunai atau cek, sebagaimana yang ditetapkan di bawah Bahagian 5 dengan izin (System of Payment of Wages) Akta Kerja 1955 [Akta 265].

“Oleh yang demikian, sebagai tambahan kepada kaedah-kaedah pembayaran upah sedia ada, Menteri Sumber Manusia juga boleh menetapkan instrumen lain bagi pembayaran upah untuk menjaga kepentingan pekerja,” katanya.

Sebelum ini, sistem e-Wages merupakan medium pemantauan pembayaran gaji pekerja asing ditangguh selepas beberapa isu berbangkit melibatkan kadar caj RM1 sebulan ke atas setiap pekerja asing yang diperhatikan terlalu tinggi.

Selain itu turut dibangkitkan aspek keselamatan data dan integriti serta pelan komunikasi medium. – MalaysiaGazette