Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berucap mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Pelancaran Biasiswa Binary Bakat Desa di Hotel Le Meridien, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 09 OKTOBER 2023.
PUTRAJAYA – Binary University menawarkan biasiswa bernilai RM60 juta kepada 800 pelajar luar bandar.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, tajaan yang dinamakan Biasiswa Binary Bakat Desa itu diharap mendorong mereka yang kurang berkemampuan ke menara gading.
“Usaha ini penting kerana 27.8 peratus penduduk Malaysia tinggal di kawasan luar bandar tapi kadar kemiskinannya tinggi iaitu 12 peratus berbanding hanya empat peratus di bandar.
“Sekarang ini masa untuk kita membina aset yang akan terus memberikan manfaat kepada negara dalam jangka masa yang panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis itu bagi mewakili Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malam tadi.
Dalam usaha mengatasi isu itu, Mohamad memberitahu, kerajaan telah memperkenal beberapa inisiatif di bawah rangka Ekonomi Madani.
“Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bertujuan meningkatkan pendapatan isi rumah manakala konsep Payung Rahmah pula menjadi langkah mengatasi cabaran kos sara hidup,” ujarnya.
Tambahnya, program berkenaan yang menumpukan pembangunan bakat (ISP) dapat membantu pelajar mengembangkan kemahiran praktikal sekali gus berbakti kepada masyarakat desa satu hari nanti.
“KKDW juga sedia bekerjasama dengan Binary University memandangkan institusi ini melahirkan graduan unik ISP serta usahawan muda dengan pengalaman hampir 40 tahun,” katanya.

Rentetan itu, beliau berharap program berkenaan mampu membasmi jurang pendidikan, meningkatkan kualiti pembelajaran dan melahirkan pelajar profesional. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast