Keadaan terkini padang Stadium Nasional Bukit Jalil ketika proses gantian rumput yang dijangka selesai pada bulan Oktober ketika tinjauan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeo.

PETALING JAYA – Peminat bola sepak tanah air bakal menyaksikan ‘wajah baharu’ Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Khamis ini.

Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) Hans Isaac berkata, perasmian venue yang tampil dengan rumput baharu jenis Zeon Zoysia dan kemudahan ditambah baik, akan disempurnakan oleh Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

“PSM dan pihak yang kami lantik dalam fasa persiapan akhir, setiap detik amat berharga. Kami tak boleh nak maklumkan banyak sangat kerana pelancarannya akan dibuat Khamis ini.

“Kita ada buat saliran baharu, naik taraf pengemasan, tandas, tempat solat macam-macam lagi dibuat jadi kita harus tunggu pada pelancaran itu nanti,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran filem Harimau Malaya: The Untold Story, di sini hari ini.

Menurut Hans, skuad Harimau Malaya akan menjadi pasukan pertama merasmikan padang baharu dengan skuad kendalian Kim Pan Gon bakal berdepan India, Jumaat ini dalam aksi pertama Pestabola Merdeka 2023.

“Kami teruja untuk pasukan negara (berdepan India) dan (skuad negara) akan jadi pasukan pertama menggunakan rumput (Zeon Zoysia) ini (di SNBJ). Ini merupakan tanggungjawab PSM dari segi persiapan buat penyokong,” katanya.

SNBJ menjalani proses penggantian rumput jenis Zeon Zoysia sejak April lepas.

Penanaman rumput itu bagi menggantikan rumput jenis Cow Grass dianggarkan mencecah kos sehingga RM1.4 juta yang ditaja oleh Tunku Ismail.

Skuad Harimau Malaya akan membuat penampilan di pentas Pestabola Merdeka 2023 bersama India dan Tajikistan dari 13 hingga 17 Okt ini.

Edisi ke-42 kejohanan tersebut menyaksikan hanya tiga pasukan bertanding selepas Palestin membuat keputusan menarik diri susulan situasi tegang melanda negara berkenaan ketika ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk S. Sivasundaram pada sidang media hari ini berkata, format kejohanan bagaimanapun masih kekal dengan Malaysia bertemu India pada 13 Okt,  manakala Tajikistan mendapat ‘bye’ susulan penarikan diri Palestin.

Sivasundaram berkata Tajikistan akan menanti pemenang antara Malaysia dan India dalam perlawanan akhir dijadual pada 17 Okt ini.

Terdahulu, pada majlis pelancaran filem Harimau Malaya: The Untold Story, menyaksikan pengarahnya Datuk Afdlin Shauki mengangkat perspektif baharu dalam karya penghasilan filem melibatkan skuad Harimau Malaya.

Filem terbitan 4wards Pictures Sdn Bhd itu diinspirasikan oleh perjuangan skuad kebangsaan yang menumpaskan Bangladesh di peringkat kelayakan bagi melayakkan diri ke Piala Asia 2022 selepas penantian selama 42 tahun. – BERNAMA