Gambar hiasan

KABUL – Satu lagi gempa bumi melanda barat Afghanistan hanya beberapa hari selepas dua gempa besar di wilayah yang sama mengorbankan lebih 1,000 orang.

Gempa bumi berukuran 6.3 magnitud baharu itu melanda sekitar 5.10 pagi waktu tempatan pada hari Rabu, 28 kilometer di utara bandar Herat.

Lebih 100 cedera dan dihantar ke hospital, kata kakitangan kesihatan.

Impak bencana alam itu masih belum diketahui tetapi orang ramai menyelamatkan diri dengan berada di tempat terbuka selepas rumah mereka musnah pada hari Sabtu lalu.

Agensi bantuan berkata, mangsa-mangsa bencana alam itu kini mengalami kekurangan selimut, makanan dan bekalan lain.

Seorang saksi di Herat berkata, dia bergegas bangun dari tidur sambil menjerit dan berlari keluar dari rumahnya.

“Saya sedang tidur dengan nyenyak kerana saya tidak tidur pada hari-hari sebelumnya tetapi gempa itu menakutkan saya,” katanya.

Menurutnya, dia berlari menyelamatkan diri di tempat terbuka, di mana kebanyakan mangsa gempa hari Sabtu lalu mendirikan khemah selepas kediaman mereka musnah atau rosak teruk.

Afghanistan sering dilanda gempa bumi terutamanya di banjaran gunung Hindu Kush kerana ia terletak berhampiran persimpangan plat tektonik Eurasia dan India. – Agensi

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast