Proton City AHTV Tanjung Malim Perak
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan Perjanjian Kolaborasi Utama antara DRB-HICOM Berhad dan Geely Holding Group Co Ltd bagi membangunkan projek AHTV di Proton City, Tanjung Malim pada Rabu. - Foto Ihsan Fath Rizal Pejabat Perdana Menteri.

TANJUNG MALIM – Pembangunan projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) mampu mengubah Tanjung Malim menjadi sebuah hab automotif bertaraf global untuk kenderaan tenaga baharu (NEV).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek itu juga akan dikembangkan mencakupi pembangunan bakat, penyelidikan dan pembangunan serta pembandaran.

Menurutnya, AHTV adalah satu projek mega membabitkan pelaburan berjumlah RM32 bilion yang dipelopori syarikat Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely Holding) bersama-sama DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM).

“Sokongan Kerajaan Perpaduan serta kelancaran projek ini menjadi contoh kepada pelabur-pelabur terhadap pendekatan Malaysia dalam memudah cara pelaburan dengan cekap dan segera.

“Semoga projek ini berjaya seperti yang dirancang, Insya-Allah,” katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook rasminya pada Rabu.

Terdahulu, beliau hadir mempengerusikan mesyuarat berkaitan AHTV diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang di Proton City di sini.

Anwar turut menyaksikan pemeteraian Perjanjian Kolaborasi Utama (MCA) antara DRB-HICOM dan Geely Holding sebagai komitmen kedua-dua pihak dalam sama-sama menjayakan AHTV.

MCA itu ditandatangani Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Hartanah dan Perancangan dan Strategi Korporat DRB-HICOM, Azri Zaharuddin dan Naib Presiden Kanan merangkap Ketua Pegawai Operasi Geely Holding, Dr Wei Mei.

Turut disaksikan pemeteraian Dasar-Dasar Utama Perjanjian antara Altel dan Geespace Technology (syarikat pelaburan strategik Geely Holding) yang memberi tumpuan kepada pembangunan dan pelaksanaan sistem teknologi tinggi serta memangkin pelaksanaan penyelesaian inovatif bagi sektor-sektor seperti pelabuhan pintar.

Projek AHTV yang dibangunkan di kawasan seluas 400 hektar di Tanjung Malim dijangka bakal menarik pelaburan kira-kira RM32 bilion, termasuk pelaburan daripada syarikat kereta nasional, Proton dalam tempoh 10 tahun akan datang. – MG Perak

BACA SETERUSNYA:

AHTV mampu jadi hab automotif bertaraf global

Perak tunggu pelan induk pembangunan Proton City