KUALA LUMPUR – Jalinan kasih antara komuniti Semenanjung bersama warga Borneo menjadi salah satu objektif penganjuran Festival Kebudayaan Borneo 2023 (BCF 2023).
Penganjurnya, Dr Jason Hee berkata, pengunjung pasti teruja dengan khazanah kesenian Borneo yang bakal dipersembah di Subang Parade Shopping Centre bermula 28 Oktober ini.
“Saya ingin jadikan festival ini sebagai pentas merapatkan jurang kebudayaan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung agar ia menjadi penyatuan antara kita semua,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Jason yang juga Presiden Persatuan Fesyen, Model dan Ratu Cantik Malaysia (MFMPA) berkata, keindahan Borneo sudah tentu dihiasi dengan pelbagai keunikan bagi setiap tradisi etnik.
“Di Sabah dan Sarawak ini banyak adat tradisi serta kebudayaan yang berbeza dan cukup indah untuk disebarkan kepada orang ramai terutama buat masyarakat di Semenanjung,” ujarnya.
Jelasnya, kekayaan khazanah berkenaan seharusnya dijulang dan dihargai agar ia tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas dengan kehadiran generasi masa kini.
BCF 2023 yang akan berlangsung selama dua hari itu membuka tirai bermula jam 10 pagi hingga 10 malam dengan menampilkan pelbagai tarikan istimewa buat pengunjung.
Lebih menarik, pengunjung juga berpeluang memakai pakaian tradisi mereka, menikmati makanan eksotik seperti ulat sagu dan persembahan tarian. – MalaysiaGazette
BACA SELANJUTNYA:
Festival Pertengahan Musim Luruh 2023 tonjol budaya unik rakyat Malaysia
MGNews: MFMPA Anjur Mid-Autum Festival 2023 Tonjol Keunikan Budaya Malaysia