KUALA LUMPUR – Kewujudan kegiatan Ah Long yang semakin berleluasa disebabkan permintaan daripada masyarakat.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, masyarakat dipercayai tertarik dengan tawaran sindiket Ah Long yang lebih mudah meluluskan pinjaman daripada pinjaman institusi perbankan dan institusi kewangan berlesen.
“Sebanyak 734 operasi telah dijalankan sepanjang tempoh Januari hingga Ogos 2023 di seluruh negara. Seramai 898 orang telah ditangkap dan sebanyak 146 kes telah dibuat pertuduhan, selain daripada itu.
“Kita bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan bertindak menurunkan iklan pinjaman wang, meminta SKMM memadam iklan pinjaman wang tidak berlesen di media sosial dan mengesan Ah Long melalui pelbagai sumber.
“Ia termasuk nombor telefon yang terdapat pada iklan. Polis juga menjalankan kerjasama dua hala dengan syarikat telekomunikasi, SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) untuk membantu mengesan lokasi suspek,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Shamsul berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) yang mahu kerajaan mengatasi masalah kes keganasan yang telah dilakukan oleh “Ah Long” atau pemberi pinjaman wang tanpa lesen memandangkan semakin banyak kes yang menunjukkan Ah Long merosakkan harta benda orang awam secara sewenang-wenangnya walaupun mereka bukan peminjam kepada Ah Long. – MalaysiaGazette