Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Menjelang Belanjawan 2024 yang bakal dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim esok, kerajaan digesa supaya membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar buat kali terakhir.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, gesaan berkenaan disuarakan oleh badan bukan kerajaan (NGO) tersebut sebagai mewakili suara 99,335 pencarum KWSP.

Jelasnya, majoriti pencarum yang membuat gesaan berkenaan tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan yang hanya membenarkan cagaran dana di KWSP.

“Mereka nak langsaikan hutang dengan dana KWSP tetapi kerajaan paksa mereka berhutang untuk bayar hutang.

“Semuanya menyatakan mereka terdesak dan berada dalam kesusahan yang amat memerlukan pengeluaran KWSP bersasar untuk membolehkan mereka mengharungi kenaikan kos sara hidup yang semakin membebankan,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen.

Sementara itu, Wan Saiful berkata, kerajaan pada hari ini perlu bertindak proaktif menangani peningkatan kos sara hidup mendadak yang menghimpit rakyat.

Termasuklah juga desakan supaya kerajaan membantu mereka yang kehilangan pekerjaan ketika Covid-19 untuk kembali bekerja.

Jelas beliau, dengan cara ini rakyat yang hidup dalam keadaan susah dapat dibantu menghadapi peningkatan kos sara hidup.

“Sehingga hari ini mereka tidak dapat kerja semula selepas dibuang jadi permintaan mereka yang disuarakan memorandum ini supaya kerajaan menjalankan proses untuk memudahkan yang dibuang kerja ada kebolehan dan pengalaman supaya kerajaan mendapatkan kembali pekerjaan.

“Mereka ini mahu  menjalani kehidupan secara bermaruah dan tidak perlu meminta secara berterusan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette