Lima kilang yang diserbu SPRM dalam siastaan terbaharu penyelewengan subsidi beras di Kedah pada semalam dan hari ini.IHsan SPRM

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini menumpukan siasatan terhadap penyelewengan pemberian subsidi kepada petani-petani yang menjual beras ke kilang-kilang yang dilesenkan.

Sumber memberitahu, susulan daripada siasatan itu SPRM membuat serbuan ke atas lima buah kilang.

Katanya, dua serbuan dilakukan semalam manakala tiga serbuan dilaksanakan hari ini di Kedah bagi mengesan aktiviti penyelewengan pemberian subsidi beras tempatan tersebut.

Sumber itu berkata, modus operandi yang digunakan sindiket ialah dengan menipu resit-resit pembelian padi di kilang-kilang terbabit.

“Ini melibatkan tiga pihak iaitu petani, pengilang dan wakil Padiberas Nasional Berhad (Bernas) yang bertanggungjawab dalam memastikan jumlah padi yang dibeli dari petani seimbang dengan jumlah subsidi yang dibayar,” katanya.

Tambah beliau, penyelewengan dalam tuntutan subsidi disyaki berlaku apabila jumlah berat padi yang dijual di kilang tidak sama dengan nilai subsidi yang dibayar kepada petani.

“Resit-resit pembelian padi dan jumlah berat padi disyaki sengaja dipalsukan dengan melipatgandakan jumlah berat padi yang dijual,” ujarnya.

Difahamkan jumlah subsidi yang dibayar oleh kerajaan melalui Ber ialah sebanyak RM500 bagi setiap tan padi yang dijual di kilang manakala pihak kilang membeli daripada petani dengan harga RM1.25 sekilogram.

“Ini bermaksud sekiranya, seorang petani menjual satu tan beras kepada pengilang, mereka akan menerima RM1,250 dan RM500 daripada jumlah tersebut merupakan subsidi daripada kerajaan,” jelasnya.

Lima kilang yang diserbu SPRM dalam siastaan terbaharu penyelewengan subsidi beras di Kedah pada semalam dan hari ini.IHsan SPRM

Sumber berkata, jumlah subsidi yang diperuntukan kerajaan ialah sebanyak RM600 juta setahun namun masih terlalu awal untuk merumuskan jumlah sebenar ketirisan subsidi yang berlaku.

Selain itu, sumber mendedahkan bahawa terdapat penyelewengan yang dilakukan oleh pengilang yang mencampurkan beras tempatan dengan beras import dan dijual dengan harga beras import.

Ini jauh lebih menguntungkan berbanding harga beras tempatan yang dikawal kerajaan, ujarnya.

“Salah satu lagi faktor yang menjadi punca kekurangan beras tempatan ialah sikap pengilang yang menyimpan dan menyorokkan beras-beras tempatan kononnya menunggu pelarasan harga oleh kerajaan.

“Mereka memberi alasan beras tersebut disimpan ialah disebabkan tiada ejen yang mahu membeli beras tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tindakan yang diambil suruhanjaya itu.

Menurut beliau, masih terlalu awal untuk merumuskan perkara tersebut dan kes disiasat di bawah seksyen 18 Akta SPRM 2009.

“SPRM akan melihat dua aspek termasuk kesalahan jenayah dan aspek tatakelola dalam pengagihan subsidi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast