Gambar hiasan

Oleh: Dr. Elya Nabila Abdul Bahri

CADANGAN umur persaraan daripada 60 kepada 65 yang telah dikemukakan oleh Bank Dunia sejak 2020 menjadi perdebatan hangat di kalangan pelbagai pihak dalam banyak paparan media sosial. Cadangan ini adalah ekoran dari status Malaysia sebagai negara mempunyai masyarakat berusia atau negara menua, berdasarkan takrifan konvensyen antarabangsa, iaitu 7 peratus atau lebih penduduk berusia 65 tahun dan ke atas. Berdasarkan bancian penduduk dalam tempoh 10 tahun bermula dari 2010 hingga 2020, fenomena penuaan meningkat kepada 6.8 peratus, iaitu lebih cepat berbanding lima peratus untuk tempoh sebelumnya.

Peratusan ini meningkat pada 2022, kira-kira 11.1 peratus atau 3.6 juta penduduk Malaysia melebihi usia 60 tahun. Menurut unjuran JSM, pada 2030 kira-kira 15.3 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia berusia melebihi 60. Dengan peningkatan peratusan kelompok berusia 65 tahun ke atas itu bakal menjadikan Malaysia negara tua menjelang 2030.

Dalam tempoh 20 tahun sehingga kini, Malaysia pernah melalui tiga proses kaji semula had umur persaraan pada usia lanjut. Dengan pelbagai perdebatan dan polemik dilangsungkan yang akhirnya ia berjalan lancar dan diterima baik oleh pelbagai lapisan pekerja demi kelangsungan kehidupan, ekonomi kendiri dan kesejahteraan kesihatan. Perubahan pertama tempoh persaraan telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan pada tahun 2001, yang mana umur persaraan kakitangan awam dilanjutkan daripada usia 55 tahun ke 56 tahun. Tujuh tahun selepas itu pada tahun 2008, perubahan kali kedua had usia persaraan telah dilanjutkan daripada usia 56 tahun ke 58 tahun.

Seterusnya, perubahan persaraan kali ketiga 4 tahun selepas itu telah diumumkan pada tahun 2012 iaitu had umur persaraan dilanjutkan pula daripada usia 58 tahun ke 60 tahun. Setelah lebih 10 tahun berlalu, timbul pula persoalan yang bermain di pemikiran rakyat sekarang iaitu apakah tahap kecenderungan penerimaan cadangan peningkatan had umur persaraan dari 60 ke 65 tahun? Mengapa 65? Kenapa bukan 62 atau 63?

Perlu diingat, kehidupan pasca persaraan ketika ini tidak boleh disamakan dengan keadaan pada 20 tahun dahulu. Kajian kami menunjukkan pada umur usia persaraan 60 tahun, sebanyak 74% pesara mempunyai anak yang masih berumur di bawah 30 tahun. Selain masih mempunyai tanggungan, mereka juga masih mampu memberi manfaat kepada individu, masyarakat, dan negara, terutamanya dari aspek sumbangan cukai pendapatan. Ada pihak yang berpandangan bahawa skim gaji perlu dinaikkan dan bukannya tempoh persaraan. Namun jika gaji dinaikkan tetapi bersara lebih awal, simpanan dari gaji tersebut tidak bertahan lama bagi seseorang individu. Sebaliknya jika tempoh persaraan dilanjutkan, mereka dapat menikmati gaji penuh, di samping membuat simpanan untuk tempoh yang lebih lama.

Selain itu, peningkatan umur persaraan juga dilihat mampu mengatasi kekurangan tenaga kerja mahir dan berpengalaman yang melanda hampir kesemua sektor industri. Dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, kita memerlukan lebih ramai pekerja berkemahiran, tanpa mengira umur. Namun jika tren lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak mahu melanjutkan pengajian ke peringkat universiti berterusan, kita bakal menghadapi kekurangan tenaga mahir yang kritikal menjelang 2030. Impak ini sekurang-kurangnya dapat dibantu dengan meningkatkan had umur persaraan pilihan di kalangan pekerja berkemahiran.

Namun demikian, bentuk dan jenis pekerjaan yang sesuai juga perlu difikirkan untuk mereka. Ini kerana kebanyakan pekerja yang berumur 60 tahun dan ke atas bekerja untuk tugasan yang menuntut tugasan fizikal yang minima. Bagi mereka yang berkemahiran tinggi, mereka akan cenderung untuk bekerja bagi tugasan yang menuntut sumbangan buah fikiran, idea, kepakaran, kemahiran yang mereka kuasai, serta daya mentadbir dan mengurus. Maka, pilihan umur bersara sama ada 60 atau 65 tahun biarlah di atas hak individu kerana mereka sendiri tahu kemampuan dan tahap kesejahteraan mereka.

Majikan boleh mengambil semula pesara untuk bekerja mengikut keperluan tugas dan juga pewarisan kemahiran kepada generasi muda. Majikan tidak akan memberi keutamaan untuk mengambil pekerja di usia persaraan sekiranya pekerja tersebut tidak memberikan nilai tambah kepada organisasi. Maka had umur persaraan secara pilihan adalah suatu yang baik dengan memberikan fleksibiliti kepada pekerja mengikut
keperluan, kemampuan, motivasi untuk bekerja, dan matlamat bekerja.

Meletakkan hak kepada pekerja untuk menentukan had umur persaraan adalah suatu saranan yang bijak kerana pekerja dapat menilai sendiri kemampuan dan tahap kesihatan serta kemahiran yang dapat disumbangkan kepada sektor pekerjaan mengikut kerelaan tanpa menjejaskan kesejahteraan sosial masing-masing. Fleksibiliti pemilihan ini adalah penting kerana kemampuan dan tahap kesihatan seseorang individu itu adalah berbeza. Maka ruang dan peluang untuk bekerja lebih lama adalah perlu.

Orang yang berumur 60 tahun adalah golongan yang sudah matang dan mempunyai banyak pelarasan yang telah dibuat dalam kehidupan. Ada yang melihat pekerjaan itu sebagai ibadah, sesuatu yang menyeronokkan kerana dapat melakukan aktiviti sosial, menyumbang bakti kepada agama, bangsa dan negara selain mendapat gaji. Ada yang melihat bekerja adalah suatu yang menyeksakan, menyusahkan dan membebankan berdasarkan pengalaman dan motivasi bekerja. Maka dengan adanya ruang untuk memilih had umur persaraan, mereka dapat merancang apa yang terbaik untuk masa depan mereka.

Rasional umur persaraan adalah untuk semua. Kita perlu melihat masa depan rakyat dari pelbagai tahap umur dan berhadapan dengan realiti. Manfaatnya bukan sahaja kepada bakal pesara, tetapi juga bagi pekerja muda yang mempunyai tempoh bekerja yang lebih lama. Justeru, mereka boleh merancang untuk mencapai tahap pencapaian kerjaya yang diinginkan sebelum bersara. Ini kerana jumlah wang persaraan adalah berdasarkan pengiraan dari gaji terakhir pesara semasa berkhidmat. Impak negara menua merentasi pelbagai sektor dan bukan hanya tertumpu kepada penjagaan serta kebajikan warga emas sahaja sebaliknya merangkumi aspek cabaran dalam kesihatan, pendidikan, kewangan, produktiviti dan guna tenaga buruh selain penggunaan teknologi yang akan menentukan pertumbuhan ekonomi jangka panjang yang mampan.

 

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Ekonomi,
Fakulti Perniagaan dan Ekonomi,
Universiti Malaya