Datuk Seri Mohamad Saleh Ismail

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan kerajaan Malaysia (Kementerian Kewangan) untuk menuntut bayaran pinjaman termasuk faedah sebanyak RM33.7 juta daripada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp).

Pinjaman itu berkaitan projek Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan pada 2007.

Hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Anand Ponnudurai memutuskan untuk memberi kebenaran kepada pemohon iaitu kerajaan Malaysia terhadap 10 defendan iaitu Pengerusi Eksekutif NFCorp, Datuk Seri Mohamad Saleh Ismail dan tiga orang anaknya.

Untuk makluman, Mohamad Saleh merupakan suami kepada bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Jalil.

Kerajaan Malaysia sebelum ini telah menuntut bayaran balik sebanyak RM253.6juta namun mahkamah tidak membenarkan jumlah itu dituntut.

Kata Anand ketika membacakan keputusannya, adalah tidak adil untuk memberikan keseluruhan tuntutan itu kerana pada hematnya ia akan menyebabkan kerajaan akan memperoleh kekayaan secara tidak adil.

“NFCorp perlu membayar balik pinjaman RM33.7 juta yang merupakan jumlah yang tidak digunakan dalam pinjaman tersebut.

“Mahkamah juga memerintahkan NFCorp tiga bidang tanah di Gemas, Putrajaya dan hartanah di One Menerung Bangsar yang telah dibeli menggunakan dana pinjaman itu dipulangkan kembali,” katanya.

Malaysia selaku plaintif layak mendapat semula keseluruhan wang RM86.9 juta yang disita daripada defendan yang kini disimpan oleh Akauntan Negara.

Dalam pada itu, mahkamah membenarkan tuntutan balas NFCorp kerana kerajaan melanggar terma-terma perjanjian pinjaman dan perjanjian implementasi yang dimeterai oleh kedua-duanya serta memerintahkan kerajaan membayar RM10,000 kepada syarikat itu.

Anand berpendapat, dakwaan plaintif defendan gagal menjelaskan pembayaran ansuran sebenarnya tidak mempunyai merit.

Katanya, saksi-saksi plaintif gagal mengemukakan bukti berlakunya penipuan dan pecah amanah melibatkan ahli keluarga Mohamad Salleh dan syarikat-syarikat di bawah kawalannya.

Kerajaan sebelum ini mendakwa satu perjanjian telah ditandatangani dengan NFCorp pada 6 Disember 2007 bagi pinjaman berjumlah RM250 juta.

Pinjaman itu disalurkan kerajaan kepada NFCorp dalam tiga peringkat dan keluarga Mohamad Salleh membuat 10 pengeluaran berjumlah RM180.51 juta dari 24 Januari 2008 hingga 3 Januari 2011 bagi membangun pengeluaran produk daging lembu.

Mohamad Salleh memberitahu  beliau dan syarikatnya mengalami kerugian dan tidak ada persoalan kerajaan menanggung kerajaan dalam projek di Gemas.

Ini juga terjadi selepas dana NFCorp itu dirampas kerajaan.-MalaysiaGazette