Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Tahun Melawat Malaysia ditetapkan semula pada 2026 dengan sasaran ketibaan 26.1 juta pelancong asing dan anggaran perbelanjaan domestik sebanyak RM97.6 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan menyediakan RM350 juta ringgit bagi merancakkan promosi dan aktiviti pelancongan supaya Malaysia kembali sebagai destinasi pelancongan pilihan utama dunia.

Katanya, Kempen Melawat Malaysia 2026 melibatkan kerjasama dengan industri dalam aktiviti promosi dan penganjuran acara pelancongan dalam dan luar negara.

Bantuan turut diberikan kepada 200 penggiat kebudayaan dalam menganjurkan aktiviti seni budaya manakala geran padanan penerbangan carter disediakan untuk meningkatkan kemudahsampaian penerbangan antarabang ke Malaysia.

Selain itu, dana kepada Pusat Pelancongan Islam (ITC) untuk membangunkan industri pelancongan mesra muslim di Malaysia.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 hari ini, Anwar turut mengumumkan pelonggaran syarat-syarat sedia ada bagi permohonan Malaysia My Second Home (MM2H) bagi meningkatkan kedatangan pelancong dan pelabur asing ke Malaysia.

“Penambahbaikan MM2H dijangka dapat meningkatkan aktiviti pelaburan dalam pasaran kewangan Malaysia dan industri hartanah negara,” katanya.

Kerajaan juga katanya,akan menyediakan RM47 juta bagi menambah baik fasiliti penumpang di terminal Lapangan Terbang Tioman dan memanjangkan landasan sedia ada kepada 1.3 kilometer.

“Kerajaan komited untuk menaik taraf lapangan terbang sedia ada bagi meningkatkan keupayaan operasi untuk memenuhi peningkatan kemasukan pelabur, peniaga dan pelancong,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette