PUTRAJAYA – Kementerian Belia da Sukan (KBS) mensasarkan lebih empat juta rakyat Malaysia menyertai Hari Sukan Negara (HSN) 2023, hari ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, majlis perasmian HSN peringkat kebangsaan 2023 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlangsung dengan meriah dan disertai lebih 30,000 peserta pada pagi ini.
“Kali ini Hari Sukan Negara membabitkan 66 acara dari 13 hingga 15 Oktober. Anggaran lebih kurang 30,000 di Putrajaya (pagi ini).
“Jumlah penyertaan di seluruh Malaysia, kita sasarkan dijalankan secara serentak dengan lebih empat juta rakyat Malaysia terbabit.
“Semua negeri berjalan hari ini kecuali Sarawak yang akan menganjurkannya pada 28 Oktober ini bagi menghormati Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
“Perdana Menteri gembira melihat penyertaan ramai keluarga yang keluar bersama anak kecil dan semua aktiviti sukan dianjurkan untuk semua lapisan umur dan OKU,” kata Hannah pada sidang media, selepas perasmian HSN 2023 di, hadapan Istana Kehakiman di sini.
Hari Sukan Negara (HSN) peringkat kebangsaan 2023 berlangsung penuh meriah di Putrajaya.
HSN 2023 yang berlangsung sejak semalam sehingga esok diisi dengan 66 acara dan aktiviti sukan dan rekreasi seperti Jelajah Fit Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 (larian, berbasikal & jalan kaki), senamrobik, bola keranjang 3X3, kabbadi, sukan elektronik dan banyak lagi.
Selain itu, turut dianjurkan program dan aktiviti mesra OKU, kanak-kanak dan warga emas seperti Karnival Inspire OKU Aktif, Active Ageing, sukaneka dan sebagainya.
HSN adalah agenda nasional yang disambut secara tahunan pada setiap Sabtu minggu kedua Oktober dalam usaha membudayakan serta merakyatkan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi amalan gaya hidup cergas dan aktif selaran dengan kerangka Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030. – MalaysiaGazette