Universiti Malaya di Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Mahasiswa Progresif Universiti Malaya mendakwa pihak pentadbiran universiti tersebut telah bertindak menaikkan yuran perkhidmatan secara senyap tanpa sebarang notis dikeluarkan.

Keadaan tersebut, kata Presidennya, Nurul Afrina Rosli bercanggah dengan jawapan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang memberi jaminan bahawa yuran pengajian tidak akan naik dan tidak membebankan pelajar.

Beliau berkata, kali terakhir yuran perkhidmatan dan servis dinaikkan dengan notis rasmi daripada Universiti Malaya adalah pada tahun 2018 apabila pentadbiran UM menaikkan yuran ICT daripada RM50 kepada RM100.

“Perkembangan terbaharu ini sememangnya menimbulkan satu impresi bahawa pentadbiran kini hanya mengejar keuntungan dan nasib mahasiswa tergadai walaupun tidak sampai setahun mereka bergelar mahasiswa/i di universiti ini.

“Mahasiswa Progresif amat kesal dengan tindakan pentadbiran universiti untuk tidak mengeluarkan sebarang notis bagi kenaikan yuran perkhidmatan dan servis ini dan memperdaya pelajar seperti boneka untuk meraih keuntungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nurul Afrina, hasil kajian pihaknya mendapati yuran servis yang merangkumi aspek Kesihatan (RM20), Servis ICT (RM100), Insuran (RM6), Perpustakaan (RM100), Sukan dan Rekreasi (RM10), dan Kebajikan (RM5) adalah berjumlah RM241 sama bagi pelajar ambilan sesi 2021/2022 dan 2022/2023.

Namun demikian, katanya, yuran servis yang dikenakan kepada pelajar baharu sesi akademik 2023/2024 adalah sebanyak RM360, dengan kenaikan sebanyak RM119 atau 49.38% kenaikan daripada tahun sebelumnya dan tiada perincian jelas berkaitan pecahan yuran tersebut.

“Berikutan pandemik Covid-19 pada tahun 2020, pentadbiran Universiti Malaya dalam satu kenyataan media yang diulas oleh Naib Canselor UM, Profesor Datuk Dr Mohd Hamdi Abdul Shukor, telah bersetuju untuk menangguhkan kenaikan yuran pengajian bagi pelajar yang berdaftar pada sesi akademik 2021/2022 dan 2022/2023.

“Ini bagi menyahut hasrat bekas Menteri Pengajian Tinggi ketika itu, Datuk Seri Noraini Ahmad, untuk meletakkan kebajikan pelajar sebagai keutamaan,” katanya.

Nurul Adrina turut melahirkan rasa kesal kerana hasrat menjunjung kebajikan pelajar kini seperti dilupakan apabila pentadbiran UM menggunakan muslihat licik dengan tidak menaikkan yuran pengajian sebaliknya menaikkan yuran perkhidmatan tanpa sebarang notis.

Katanya, yuran tersebut juga perlu dibayar sebelum mendaftar sebagai pelajar aktif ekoran dasar zero balance policy yang dilaksanakan.

“Kami menuntut penjelasan daripada pihak pentadbiran tentang kenaikan yuran yang dilakukan tanpa notis dan menyeru supaya segala keputusan yang melibatkan hal ehwal mahasiswa perlulah telus tanpa melindungi sebarang maklumat yang dapat mengancam kebajikan hal ehwal pelajar.

“Kami menegaskan kebajikan pelajar adalah mustahak dan diletakkan sebagai keutamaan, maka ia tidak boleh sewenang-wenangnya diperkecilkan dek kerakusan pihak atasan,” katanya. – MalaysiaGazette