Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia.

KUALA LUMPUR – Peruntukan berjumlah RM58.7 bilion kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuktikan kerajaan berhasrat membina dan mencapai Malaysia Madani yang berdaya maju dan mampu bersaing di peringkat global tercapai.

KPM menerusi kenyataan berkata, daripada keseluruhan jumlah peruntukan yang diterima KPM, sejumlah RM2.5 bilion diperuntukkan untuk pembinaan 26 buah sekolah baharu.

Ini termasuk membina Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laya-laya, Sabah; SMK Baie, Sarawak; SMK Seri Melati,
Pahang; SMK Bandar Universiti, Perak, dan SMK Binjai, Kelantan, katanya.

“Manakala, RM82juta pula disediakan untuk pembinaan 26 bangunan baharu prasekolah.

“Sebanyak RM1.9 bilion disediakan untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah di seluruh negara.

“Daripada jumlah tersebut, RM930 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja naik taraf bangunan dan prasarana daif melibatkan 450 buah sekolah, merangkumi 185 projek di
Sarawak dan 155 di Sabah.

“Manakala, sebanyak RM1 bilion pula adalah untuk penyelenggaraan di semua jenis sekolah termasuk Sekolah Pendidikan Khas dengan memberi tumpuan kepada keperluan murid autism,” katanya.

KPM berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM220 juta untuk pembangunan dua buah institusi Pendidikan Islam baharu termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Jempol, Negeri Sembilan bawah KPM.

Katanya lagi, Belanjawan 2024 turut memberi peluasan kepada bantuan persekolahan murid di mana kerajaan bersetuju meluaskan kriteria pendapatan ibu bapa bagi permohonan Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) mengikut kadar pendapatan garis kemiskinan (PGK) RM2,589 berbanding RM1,500 sebelum ini.

KPM menambah, bagi memastikan anak-anak keluarga miskin tidak tercicir daripada pendidikan, pemberian bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) turut diperluaskan kepada murid sehingga Tingkatan 3 berbanding sehingga Tingkatan 1 sebelum ini.

Ia memberi manfaat kepada satu juta orang murid dengan peruntukan RM150 juta.

Selain itu KPM berkata, RM100 juta disediakan untuk pemerkasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Peruntukan itu katanya, khusus untuk tujuan menyelenggara dan menaik taraf makmal komputer sekolah serta perolehan peralatan baharu untuk pembelajaran STEM.

KPM menjelaskan, Belanjawan 2024 turut mengambil kira infrastruktur dan peralatan sokongan murid berkeperluan khas (MBPK) di mana RM180 juta disediakan untuk pembinaan 18 blok baharu pendidikan khas.

“Ini termasuk SMK Kubang Rotan, Kedah, SK Bandar Baru Perda, Pulau Pinang dan SMK Dato’ Ali Ahmad, Perlis.

“Manakala RM30 juta disediakan untuk membekalkan peralatan sokongan pendidikan khas dan menyediakan kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) di sekolah.

Dalam pada itu KPM berkata, peruntukan berjumlah RM100 juta turut disediakan bagi melaksanakan pendekatan holistik melibatkan semua pihak dalam membantu murid yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“KPM juga menyambut baik inisiatif kerajaan menyediakan sejumlah RM2.4 bilion untuk membina, menyelenggara dan membaik pulih kuarters penjawat awam termasuk kuarters guru.

“KPM turut akan memberi penekanan kepada penerapan Karamah Insaniah dalam kalangan murid sekolah.

“Justeru itu, peluasan pelaksanaan program pembentukan karakter murid yang menumpukan kepada nilai kepimpinan, sahsiah diri, adab dan integriti. Manakala, Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara akan dilaksanakan untuk memastikan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara yang sedang dirangka turut mengambil kira cadangan dan kekuatiran ibu bapa, warga pendidik dan industri,” jelasnya.

Katanya, KPM menggalas amanah besar untuk memastikan peruntukan yang diberi dalam Belanjawan 2024 dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya dan memberi impak kepada pembangunan pendidikan negara. – MalaysiaGazette