BUKIT MERTAJAM – Pengamal dan penggemar muzik tanah air meminta Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri menghidupkan semula seni kebudayaan yang kian hilang ditelan zaman.
Pengarah Urusan Arena Pinang, Razali Hussain, 47, berkata, Ghazal Parti yang popular di Utara khususnya Pulau Pinang antara seni kebudayaan yang perlu diangkat semula buat masa ini.
Jelas beliau, ia susulan Ghazal Parti yang dahulunya popular mendidik masyarakat melalui nilai positif dalam lagu itu bukan saja tidak kedengaran malah sudah tidak dikenali orang ramai.
“Ramai orang lebih mengenali irama ghazal dari Johor berbanding Ghazal Parti yang popular di Pulau Pinang.
“Jika diperhatikan, kumpulan Ghazal Parti yang masih aktif kini hanya dianggotai warga emas dan kurang pelapis daripada kalangan orang muda.
“Kita bimbang jika perkara ini berterusan tanpa pelapis orang muda ia akan hilang ditelan zaman sekali gus negara juga akan kehilangan satu seni kebudayaan yang unik,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Razali yang juga penganjur Ghazali Parti di Mydin Bukit Mertajam baru-baru ini berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kini memberikan kerjasama dalam menghidupkan semua Ghazal Parti menerusi beberapa program.
Bagaimanapun, pihaknya berharap ia diketengahkan menerusi program kokurikulum di sekolah agar ia menjadi kesinambungan genarasi akan datang.
“Seperti mana Omar Md. Hashim atau dikenali dengan panggilan Omara popularkan semula boria kita nak Ghazal Parti juga diangkat di peringkat kebangsaan termasuk dijadikan antara seni persembahan negara untuk dipromosikan kepada pelancong.
“Sehubungan itu, kita harap Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri ambil pendekatan ‘buka mata’ mengenai Ghazal Parti ini,” katanya. – MalaysiaGazette