Ahmad Zahid merasmikan Pejabat UMNO Bahagian Tangga Batu di Taman Paya Rumput Utama, Melaka, hari ini.

MELAKA – Kerajaan akan mewujudkan kursus baharu berkaitan kenderaan elektrik (EV) dan tenaga solar baharu di Melaka di bawah institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sesuai dengan permintaan tinggi di negeri ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagi tujuan itu, beberapa institusi TVET bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) juga akan diperkasakan untuk membantu anak-anak muda dan generasi baru.

“Kita bukan sahaja akan menambahkan kursus-kursus sedia ada, tapi akan perbesarkan dan jika perlu untuk tempoh sederhana ini, kita akan wujudkan TVET baru yang bersesuaian dengan EV dan juga tenaga solar.

“Ini kerana kita tahu bahawa Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperolehi koleksi bulanan tertinggi daripada industri Negeri Melaka dan ini harus diakui bahawa Melaka mempunyai potensi yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pejabat UMNO Bahagian Tangga Batu di Taman Paya Rumput Utama di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, usaha itu juga sejajar dengan dengan dasar kerajaan negeri yang memberi fokus terhadap teknologi itu susulan mendapat permintaan tinggi pelabur untuk tenaga boleh diperbaharui.

“(Maknanya) bukan sahaja pelabur akan datang ke Melaka tetapi pelabur di negeri lain mungkin perlukan tenaga yang sama dan TVET ini boleh diperkasakan di Melaka.

“Kita (juga) akan tambahkan, naikkan taraf institusi yang sedia ada dan jika ada keperluan atas permintaan Ketua Menteri, saya akan gunakan peruntukan yang ada di peringkat Pusat berjumlah RM6.8 bilion,” katanya.

Malaysia kini mempunyai 1,334 TVET di seluruh negara membabitkan 12 kementerian. – MalaysiaGazette