Foto Facebook Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah mengingatkan penjawat awam di negeri itu daripada peringkat bawahan hingga ke atasan supaya hidup dalam kadar mengikut kemampuan sendiri.

Sultan Ibrahim bertitah, peringatan itu adalah bagi mengelak penjawat awam di negeri ini terbabit dalam rasuah.

Baginda bertitah semua penjawat awam hendaklah mengisytiharkan harta setiap tahun kerana ia satu daripada cara untuk mencegah pemilikan harta luar biasa.

“Pada masa sama, kerajaan boleh mengkaji gaji segelintir kakitangan awam yang terlalu rendah kerana ini juga boleh menjadi faktor tekanan hidup, terutama di bandar-bandar besar,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim hari ini.

Sultan Johor bertitah Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain turut membangkitkan perkara sama bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota terlibat dengan salah guna kuasa atau perbuatan rasuah.

“Penjawat awam perlu hidup dalam kemampuan sendiri dan perlu ingat mana-mana penjawat awam hidup mewah hasil daripada rasuah tidak akan terlepas daripada siasatan pihak berkuasa.

“Anda (penjawat awam) semua diperhatikan. Sudah semestinya, mana-mana penjawat awam menjalani gaya hidup mewah melebihi taraf kehidupan yang munasabah menimbulkan tanda tanya,” titah Sultan Johor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast