Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lebih 500 pekerja sebuah syarikat penerbangan tambang murah yang ditamatkan perkhidmatan akan dibantu oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, KSM sedia maklum berkenaan kemelut yang sedang dihadapi oleh sebuah syarikat penerbangan tempatan yang sedang hangat disiarkan melalui media ketika ini.

Menurut beliau,  Perkeso sentiasa memantau perkembangan terkini bagi memastikan segala perkara yang melibatkan kebajikan pekerja akan diambil tindakan segera.

“Berdasarkan rekod caruman Perkeso lebih 500 orang pekerja dijangka menerima manfaat Sistem Insurans Pekerjaan Perkeso.

“Pekerja berkenaan akan menerima gantian pendapatan untuk tempoh tiga hingga enam bulan sementara mendapat kerjaya baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sivakumar menambah, manfaat Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) itu diberikan selepas semakan terhadap rekod caruman Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) mereka memenuhi syarat kelayakan.

Jelasnya, kementerian dan Perkeso komited serta sentiasa bersedia membantu meringankan bebanan mereka dari segi kewangan akibat diberhentikan kerja.

Selain itu, kata beliau, pekerja syarikat penerbangan ini akan dibantu melalui peningkatan kemahiran (upskilling) mengikut keperluan individu.

“Malah mereka akan dimaklumkan mengenai kekosongan jawatan dan penempatan pekerjaan baharu melalui portal perkhidmatan pekerjaan negara MYFutureJobs.

“Bantuan kepada pekerja yang terkesan juga turut merangkumi perkhidmatan sokongan pekerjaan secara individu dan kaunseling kerjaya oleh Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast