KUALA LUMPUR – Dr. Solehah Yaacob tidak boleh lagi dikaitkan dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selepas perkhidmatannya sebagai kakitangan akademik ditamatkan berkuat kuasa 27 April lalu.
Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi (OCAP) UIAM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Solehah tidak lagi memegang jawatan sebagai profesor di universiti berkenaan atau mewakilinya dalam apa-apa perjawatan.
“Sehubungan itu, penggunaan sebarang gelaran, jawatan, kulliyyah, pusat, institut, jabatan atau apa-apa bentuk afiliasi rasmi dengan UIAM adalah tidak dibenarkan.
“Penggunaan gelaran atau perjawatan yang berkait dengan UIAM juga tidak dibenarkan dalam apa-apa bentuk bahan promosi, pelaporan media, penerbitan, pengiklanan, kandungan media sosial, bahan publisiti atau bahan hebahan lain, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung,” menurut kenyataan itu.
UIAM berharap penjelasan mengenai status perkhidmatan dan kaitan rasmi Solehah dengan universiti itu dapat mengelakkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai demi menjaga integriti dan kesarjanaan akademia.
Baru-baru ini, beliau mengemukakan teori kontroversi bertajuk `Besi Dari Langit — Mengapa Kedah Kaya Dengan Besi?’ yang mendakwa kekayaan bijih besi di Kedah purba dan sekitar Gunung Jerai bukan terbentuk secara semula jadi, sebaliknya berpunca daripada hentaman hujan meteor pada zaman silam.
Bagaimanapun, dakwaan itu disanggah hebat oleh ramai pihak termasuk pengkaji dan ahli akademik kerana ia berlawanan dengan ujian fizikal geologi serta fakta sains.
Sebelum ini, Solehah menarik perhatian umum selepas video syarahan beliau tersebar di saluran Youtube yang mendakwa bahawa teknik pembinaan kapal tamadun Rom zaman dahulu dipercayai dipelajari daripada pelaut Melayu.
Beliau mendakwa bahawa hipotesisnya berhubung sejarah teknik pembinaan kapal tamadun Rom adalah berpaksikan sumber pembacaan Arab klasik.
Susulan itu, pada November tahun lalu, UIAM menubuhkan panel inkuiri dalaman untuk meneliti kenyataannya selaras dengan terma rujukan ditetapkan dalam menilai isu berkaitan integriti akademik. – MalaysiaGazette
















