Bayi perempuan ditinggalkan di dalam bakul dalam keadaan masih bertali pusat di berhampiran sebuah ladang getah di Pendang, Kedah pada Jumaat lalu.

PENDANG – Tukang gunting rambut direman selama empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan penemuan seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan di tepi jalan berhampiran ladang getah Kampung Datuk Syed Ahmad di sini, Jumaat lalu.

Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 20-an itu dikeluarkan mahkamah Majistret Alor Setar bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Pendang, Superitendan Arriz Sham Hamezah memaklumkan pihaknya menahan dua individu terdiri daripada seorang lelaki dan seorang perempuan yang dipercayai ibu bayi berkenaan secara berasingan di Sik, pada Sabtu.

Jelas beliau, tangkapan itu dibuat susulan penemuan bayi perempuan di dalam bakul dalam keadaan berbalut kain batik serta tuala di tepi jalan sebuah kampung pada jam 7.05 malam sehari sebelum itu.

“Pemeriksaan lanjut oleh kakitangan Klinik Kesihatan Sungai Tiang mendapati terdapat uri serta tali pusat bersama bayi yang masih hidup itu.

“Siasatan berhubung kejadian masih dijalankan namun suspek wanita yang bekerja di sebuah kedai telefon bimbit dilepaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette