GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berpendapat perlu ada penyeliaan dan pemantauan berkesan terhadap cara peruntukan Belanjawan 2024 dibelanjakan bagi memastikan hasil yang dirancang tercapai.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, ia bagi memastikan peruntukan itu dibelanjakan dengan cekap tanpa sebarang ketirisan.

“Belanjawan 2024 secara amnya menyeluruh dan meliputi kebanyakan aspek kritikal bagi masyarakat negara ini. Pelaksanaan belanjawan ini amat penting untuk kita lihat kejayaannya,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut Mohideen berkata, Belanjawan 2024 bukan saja menyentuh peralihan ekonomi rendah karbon dan bentuk tenaga mampan malah menyentuh konflik hidupan liar, pemuliharaan serta pemeliharaan alam sekitar.

Jelasnya, rancangan juga sedang dibuat bagi menyediakan bekalan air bersih khususnya di Kelantan, Sabah dan Labuan.

“Ini adalah caranya kerana pada tahun 2002, Jawatankuasa Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCESCR) menerima pakai ulasan umum Nombor 15 mengenai hak air, mentakrifkannya sebagai hak setiap orang ‘untuk mencukupi, selamat, boleh diterima, secara fizikal air yang boleh diakses dan berpatutan untuk kegunaan peribadi dan domestik.

“Selain itu, CAP juga menyokong cadangan duti eksais ke atas minuman bergula yang dinaikkan daripada 40 sen kepada 50 sen dan ini merupakan langkah baik kerana hasil duti eksais tersebut akan digunakan bagi merawat diabetes dan menyokong pusat dialisis.

“Malah, berdasarkan tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, seramai 3.6 juta orang dewasa berusia 18 tahun ke atas menghidap diabetes dengan 49 peratus (3.7 juta) kes adalah tidak didiagnosis,” katanya.

Tambah Mohideen, langkah kerajaan mengehadkan pemindahan produk berasaskan alkohol ke pelabuhan tertentu perlu dipuji kerana ia merupakan langkah bagi mencegah penyeludupan produk tersebut. – MalaysiaGazette