Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Berkurung yang dilaksanakan di perairan Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Sandakan di Sabah sejak tahun 2014 bakal dijenamakan semula.

Ia dilaksanakan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Eastern Sabah Security Zone (Ess Zone) Sabah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, keputusan penjenamaan semula itu dibuat dengan persetujuan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kerajaan Negeri Sabah dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Setelah penilaian mengenai status keselamatan terkini dibuat di negeri terbabit, ketiga-tiga pihak MKN, Sabah dan KDN memberi persetujuan untuk menjenamakan semula perintah berkurung kepada Perintah Kawalan Pergerakan Eastern Sabah Safety Zone (ESS ZONE) Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Razarudin, perintah kawalan pergerakan itu akan melibatkan kawasan perairan yang sama.

“Namun Tawau dikecualikan kali ini daripada zon keselamatan  memandangkan statistik terbaharu menunjukkan tahap ancamannya rendah di situ selain kawalan keselamatan di daerah itu memuaskan.

“Berkuatkuasa 17 Oktober ini pukul 6 petang Perintah Kawalan Pergerakan ESS ZONE Sabah No.1 akan dikuatkuasakan bagi menyambung perintah berkurung Sabah nombor 220 yang akan tamat pada jam 6 petang 17 Oktober ini (Selasa),” ujarnya.

Tegasnya, Perintah Kawalan Pergerakan terbabit  diperlukan bagi memastikan kawasan perairan tidak diceroboh dan diancam dan pelaksanaannya akan menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah di kawasan ESS ZONE.

“PDRM memberi jaminan bahawa keselamatan di Sabah kekal terkawal dan akan memastikan segala langkah diambil untuk membanteras sebarang insiden jenayah rentas sempadan, penculikan atau penyeludupan selepas ini.

Untuk makluman Pada 16 Julai 2014, perintah berkurung telah mula dilaksanakan di kawasan perairan Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Sandakan bagi menangani masalah pencerobohan pengganas Sulu, penculikan oleh kumpulan Kidnapping For Ransom (KFR) di kawasan pantai timur perairan Negeri Sabah.

Mengambil kira keperluan keselamatan ini, perintah berkurung itu seterusnya telah diperluaskan untuk meliputi peraira Tawau, Kinabatangan serta Beluran.- MalaysiaGazette