Kapten Norazman Mahmud

KUALA LUMPUR – Pesawat Tentera Udara Malaysia (TUDM) disyaki tergelincir dari landasan semasa melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAAS) hari ini.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan berkenaan insiden kemalangan melibatkan pesawat jenis Beechcraft B200T dengan nombor pendaftaran M41-02  pukul 12.54 tengah hari tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, siasatan pihaknya mendapati kesemua empat pegawai termasuk juruterbang dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan selamat.

“Juruterbang pesawat tersebut telah menghubungi Menara Kawalan Trafik Udara (ATC) Subang memaklumkan mengenai masalah pada gear pendaratan dan meminta bantuan
untuk mendarat Menara ATC Subang segera memaklumkan kepada Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang Subang (AFRS) bagi mengaktifkan Pelan Kecemasan Lapangan Terbang (AEP) untuk menyediakan bantuan kecemasan kepada pesawat semasa mendarat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Norazman, pesawat tersebut kini dalam proses untuk dialihkan dan pemeriksaan penuh landasan akan dilaksanakan bagi memastikan keselamatan operasi di lapangan terbang terjamin.

“Landasan LTSAAS dijangka akan dibuka semula untuk beroperasi pada jam 5.00 petang ini,” katanya.

Sehubungan itu, siasatan lanjut akan dilaksanakan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pesawat Beechcraft B 200T TUDM mendarat cemas