Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menjangkakan sebanyak RM105.3 bilion pelaburan baharu dijangka masuk ke negara pada 2024 merangkumi 984 projek dalam peringkat rundingan sehingga 31 Ogos lalu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah itu meliputi jangkaan pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM89.5 bilion dan pelaburan langsung domestik (DDI) pula RM15.8 bilion.

Beliau menjelaskan, jumlah pelaburan itu meliputi projek-projek daripada sektor perkilangan dengan cadangan pelaburan sebanyak RM73.6 bilion yang melibatkan 53 cadangan projek serta 931 cadangan projek dalam sektor perkhidmatan di bawah seliaan MIDA dengan cadangan pelaburan sebanyak RM31.7 bilion.

“Pelaburan yang masuk ke semua negeri dapat dilihat melalui projek pelaburan yang telah berjaya diluluskan dalam sektor perkhidmatan, perkilangan dan utama berjumlah RM267.8 bilion sepanjang 2022, melibatkan 4,517 projek dan dijangka mewujudkan 140,440 peluang pekerjaan di negara ini.

“Daripada jumlah ini, pelaburan langsung domestik (DDI) merupakan penyumbang utama dengan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM104.4 bilion (39%), manakala pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang sebanyak RM163.3 bilion (61%),” katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Tengku Zafrul memberitahu, lima negeri utama yang diluluskan pelaburan pada 2022 adalah Johor (RM70.6 bilion), Selangor (RM60.5 bilion), Sarawak (RM28.8 bilion), Kuala Lumpur (RM25.0 bilion) dan Pulau Pinang (RM16.3 bilion).

Pada dasarnya, katanya, pemilihan lokasi pelaburan oleh pelabur adalah atas keputusan perniagaan pelabur itu sendiri dan banyak bergantung kepada ekosistem dan kekuatan kluster industri di sesebuah negeri.

“Selain itu, MIDA menyediakan pakej insentif cukai kepada pelabur domestik dan asing bagi menggalakkan pelabur-pelabur ini mengeluarkan keluaran atau menjalankan aktiviti bernilai tambah tinggi dan berteknologi tinggi di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986,” katanya.

Tengku Zafrul menambah, Dasar Pelaburan Baharu Berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIP-NIA) turut menggariskan kepentingan keseimbangan wilayah bagi mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah.

“Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 juga turut menetapkan misi menjamin sekuriti ekonomi dan keterangkuman sebagai salah satu misi di dalam NIMP. Kekuatan kluster industri di setiap negeri boleh melengkapi antara satu sama lain dan mendapat manfaat limpahan ekonomi daripada kluster sedia ada.

“Sebagai contoh, Kedah dan Perak mendapat manfaat limpahan ekonomi daripada kluster Elektrikal dan Elektronik (E&E) di Bayan Lepas dan Batu Kawan.

“Limpahan ekonomi ini akan dapat mewujudkan kluster industri baharu atau industri sokongan seperti perkilangan berteknologi tinggi dan aktiviti penyelidikan dan pembangunan di High-Tech Park di Kulim dan Perak yang boleh menyokong kluster E&E di Pulau Pinang,” katanya. – MalaysiaGazette