GEORGE TOWN – “Saya sudah jelaskan sekiranya ada (usaha untuk menjatuhkannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang).Kalau tiada, tak perlulah bukti.”
Demikian reaksi Chow Kon Yeow mengulas kenyataan Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng yang meminta beliau mengemukakan bukti berhubung dakwaan wujud komplot menjatuhkan dalam kalangan pihak luar serta dalam parti.
Kon Yeow berkata, konteks ucapannya pada majlis makan malam ulang tahun ke-25 Persatuan Alumni Heng Ee di sini perlu diambil kira secara keseluruhan memandangkan perkataan ‘hui chao’ bermaksud ‘kembali ke sarang’ itu merujuk kepada tema majlis tersebut yang meminta alumni menyumbang semula kepada komuniti.
“Saya memaklumkan ‘hui chao’ itu bermakna kepada saya apabila ada cubaan menggantikan ketua menteri baharu sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) berlangsung meskipun jawatan ketua menteri tidak digantikan namun perjalanan saya ke hadapan masih mencabar.
“Saya juga ingatkan sesiapa yang cuba timbulkan isu itu agar tidak berbuat sedemikian ini kerana calon PRN, pelantikan exco serta jawatan saya diputuskan oleh parti dan dalam konteks itu saya menyeru semua pihak sama ada dalam atau luar parti bekerjasama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Kepimpinan dan Tadbir Urus (FLAG) di Penang Institute di sini hari ini.
Mengulas lanjut Kon Yeow berkata, pasukan pentadbiran kerajaan negeri termasuk barisan exco baharu dilantik memberi kerjasama namun beliau berharap ia boleh ditambah baik bagi memastikan visi Penang 2030 tercapai.
Mengulas perkembangan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menamatkan perjanjian usaha sama dengan UMECH Land Sdn Bhd, Kon Yeow tidak boleh mengulas lanjut sementara menunggu jawapan daripada syarikat tersebut.
“Saya tak bercadang untuk cakap lebih daripada kenyataan yang dikeluarkan PDC dan perkara ini berkaitan isu undang-undang dengan pihak terbabit.
“Kita tunggu syarikat itu beri jawapan dan baru saya akan komen seterusnya,” katanya.
Terdahulu, Lembaga Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) memutuskan untuk menamatkan perjanjian usaha sama dengan pihak UMECH Land Sdn. Bhd. (UMECH Land) berhubung penjualan tanah di Byram, Batu Kawan.
PDC dalam satu kenyataan berkata, perubahan majoriti struktur ekuiti syarikat UMECH Land sehingga berlaku perubahan pihak yang mengawal dan menerajui projek dilaksanakan tanpa memaklumkan dan mendapat kelulusan PDC secara rasmi adalah satu isu yang dipandang serius serta tidak boleh diterima oleh Lembaga PDC. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: