MELAKA – Satu tengkorak dipercayai kepala manusia dan tulang ditemui di kawasan pantai tambakan laut berhampiran bangunan Encore, di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian melalui panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 6.32 petang.
Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah yang sampai di tempat kejadian mendapati tengkorak dan tulang manusia di atas pasir yang dikelilingi semak.
“Kedudukan antara tengkorak dan tulang itu lebih kurang lima meter dan berada pada kedudukan kira-kira 20 meter dari pantai yang ditemui saksi pada pukul 6 petang.
“Saksi yang ketika itu sedang melalui kawasan semak itu bagaimanapun tidak melihat apa-apa yang mencurigakan di sekitar tengkorak ditemui,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, tular dua klip video berdurasi 13 dan 16 saat di aplikasi TikTok hari ini mengenai penemuan tengkorak berkenaan.
Mengulas lanjut, Christopher berkata, siasatan lanjut Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menjumpai satu seluar jeans dalam keadaan separuh tertimbus dalam pasir berhampiran tulang berkenaan.
“Hasil semakan senarai Orang Hilang (OH) di kawasan pentadbiran Balai Polis Melaka Tengah, mendapati tiada kes itu dilaporkan dan seluar jeans berkenaan diambil untuk siasatan lanjut.
“Tengkorak dan tulang itu akan dihantar ke Forensik Hospital Melaka untuk siasatan forensik bagi mengenalpasti identiti mangsa,” katanya.
Tambahnya, kes akan dibuka dibawah kematian mengejut (SDR) untuk siasatan yang lebih terperinci.
“Saya meminta orang ramai yang kehilangan saudara mara atau mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya terus menghubungi balai polis berhampiran,” katanya. – MalaysiaGazette