Mohd Hairi Mad Shah

JOHOR BAHRU – Seramai 20,000 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negeri ini bakal menerima manfaat daripada geran pendigitalan sebanyak RM100 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, Jumaat lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, usahawan terbabit turut meliputi peniaga yang beroperasi di kawasan luar bandar.

“Alhamdulillah, Belanjawan 2024 telah pun dibentang Kerajaan Perpaduan oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin, menyaksikan peruntukan yang diterima adalah sebanyak RM393.8 bilion, iaitu jumlah perbelanjaan terbesar dalam sejarah belanjawan negara.

“Meskipun tidak dinyatakan pengkhususan untuk negeri Johor, sebagaimana pembentangan Belanjawan sebelum-sebelum ini, namun saya yakin dan percaya peruntukan yang sudah diberikan ini boleh dimanfaatkan sebaiknya khususnya buat agensi atau jabatan di bawah portfolio saya.

“Contohnya, sebanyak RM44 bilion secara keseluruhan diperuntukkan pinjaman dan jaminan pembiayaan yang tersedia untuk manfaat PMKS. Sebanyak RM330 juta di bawah TEKUN juga adalah untuk menyediakan kemudahan pembiayaan kepada peniaga kecil,”katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Geran itu jelasnya boleh digunakan untuk menaik taraf sistem jualan, inventori dan perakaunan digital.

“Pada masa sama, RM900 juta dana pinjaman di bawah BNM disediakan untuk menggalakkan syarikat PKS meningkatkan produktiviti perniagaan melalui automasi dan pendigitalan,”katanya.

Malah, peranan Pusat Ekonomi Digital di setiap DUN menurut beliau akan terus diperkasa untuk menyokong pengusaha kecil menjual produk secara dalam talian.-MalaysiaGazette