GERIK – Seorang anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik cedera di bahu serta bengkak kepala selepas diserang lelaki bersenjatakan kapak dalam kejadian di kebun sawit Felda Bersia di sini, semalam.

Kejadian itu berlaku pada jam 12 tengah hari ketika mangsa serta seorang lagi anggota berpangkat lans koperal sedang menjalankan Ops Tapis di kawasan kebun berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, dua anggota itu terserempak dengan suspek lelaki berusia 31 tahun ketika dia sedang menunggang motosikal jenis Honda EX5 sebelum bertindak memberhentikannya bagi pemeriksaan.

Jelas beliau, suspek turun dari motosikalnya dalam keadaan tangan kanan memegang kapak manakala sebilah parang di tangan kiri.

“Suspek kemudian bertindak membuang parang ke tanah sebelum berlari dan menyerang koperal berkenaan menggunakan kapak.

“Anggota polis tersebut cuba memberkas suspek namun dia bertindak agresif dengan melibas kapak ke arah koperal itu hingga mengakibatkan kecederaan pada bahagian bahu kanan selain bengkak di kepala.

“Dalam situasi itu, anggota terbabit terpaksa melepaskan tembakan pada kaki suspek bagi tujuan mempertahankan diri,” katanya dalam satu kenyataan media malam tadi.

Menurut Zulkifli, susulan tembakan itu, berlaku pergelutan antara mereka selepas suspek cuba melarikan diri.

Bagaimanapun, katanya, tindakan suspek gagal selepas dia berjaya ditahan sebelum pemeriksaan ke atasnya membawa kepada penemuan dadah jenis ganja serta methamphetamin.

“Kita menjumpai satu paket lutsinar berisi cebisan tumbuhan kering dipercayai ganja dan dua keratan straw disyaki methamphetamin di dalam poket seluar hadapan sebelah kiri.

“Suspek dibawa ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut manakala anggota polis yang cedera dirawat di Klinik Kesihatan Bersia.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 12(2)/6 Akta Dadah Berbahaya 1953,” katanya. – MalaysiaGazette