KUANTAN – Jenazah mangsa pemerdaganan manusia yang maut ketika berada dalam tahanan Imgresen di Myanmar, Muhammad Izzat Abdul Wahab akan dibawa dari Taicilek ke Yangon esok.
Abang kandung mangsa, Muhamad Hasmanizam, 45, berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak kedutaan kenderaan yang akan membawa jenazah sudah bertolak dari Yangon pagi kelmarin.
Manakala Hazmanizam dan dua lagi waris keluarga akan berlepas ke Myanmar pada hari Jumaat ini bagi menguruskan jenazah adiknya di sana.
”Saya dimakluman kenderaan khas yang akan membawa jenazah sudah bertolak dari Yangon dan jangka akan tiba di Taichilek Rabu dan sampai semula ke Yangon pada Khamis.
”Kakitangan kedutaan juga sudah sampai di Tachileik untuk membantu urusan dengan pihak polis, imigresen dan hospital di Tachileik.
”Proses visa perjalanan kami semua telah siap dan akan bertolak Jumaat ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurutnya, keluarga berterima kasih kepada pihak kedutaan Malaysia di Yangon yang memudahkan proses membawa jenazah Izzat dilakukan di sana.
Difahamkan jarak perjalanan dari Yangon ke Taicileik sejauh 600 kilometer memakan masa dua hari pada waktua siang sahaja berikutan perintah berkurung pada waktu malam di kawasan berkenaan.
Beliau sekeluarga mengharapkan proses bedah siasat berjalan lancar dan berhasrat membawa pulang jenazah ke tanah air untuk dilakukan proses bedah siasat kali kedua di Malaysia.
”Kita berharap keadilan berpihak kepada arwah ’pakdik’ kerana masih berasa musykil dengan laporan perubatan awal yang mengatakan punca kematian kerana serangan jantung.
”Tindakan susualan akan diambil berikutan arwah meninggal dunia ketika dalam tahanan. Apapun kita selesaikan proses bedah siasat dahulu,” tambahnya.
Allahyarham Izzat merupakan anak bongsu dari lapan beradik berasal dari Tanjung Lumpur menaiki penerbangan ke Bangkok pada 7 Oktober lalu sebelum diculik ke Myanmar melalui jalan darat pada 11 Oktober.
Mangsa kemudiannya diselamatkan oleh wakil pertubuhan kemanusiaan namun disahkan meninggal dunia ketika dalam tahanan Imigresen di Pusat Imigresen Tachileik di Myanmar pada 14 Oktober lalu.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Nurul Diyana Mohd Shukur, 27 tahun dan dua anak lelaki Muhammad Nu’man dan Muhammad Naqib Anaqi masing-masing berusia enam dan empat tahun. – MalaysiaGazette