Sembilan lelaki warga Indonesia dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan ketika cuba memasuki negara secara haram melalui perairan Tanjung Rhu, Selangor awal pagi tadi.

KUALA LINGGI – Sembilan lelaki warga Indonesia dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan ketika cuba memasuki negara secara haram melalui perairan Tanjung Rhu, Selangor awal pagi tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, tangkapan itu susulan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) mengesan satu kontak curiga dari laluan Skim Pemisah Trafik (TSS) menuju ke Tanjung Tumbuk.

“Susulan itu, bot ronda kita yang sedang membuat rondaan Op Murni/Op Tiris Fasa 2.0 telah diatur gerak ke lokasi sebelum memintas bot suspek di kedudukan lebih kurang 0.7 batu nautika barat daya Tanjung Rhu, Selangor kira-kira pukul 1 pagi tadi.

“Pemeriksaan di dalam bot mendapati seorang tekong, tiga awak-awak dan lima penumpang warganegara Indonesia dipercayai PATI masing-masing berumur antara 23 hingga 47 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya kesemua mereka gagal mempamerkan dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai memasuki Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan.

Kesemua mereka dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast