Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari bersama timbalannya, Afnan Hamimi Taib Azamudden pada Persidangan Dewan Pemuda PAS Malasyia sempena Muktamar Tahunan Pas ke-69 di IDCC Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 19 OKTOBER 2023.

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden dipilih sebagai Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) sesi 2023-2025 selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan sayap parti itu, hari ini.

Pemilihan itu dimuktamadkan setelah jawatan nombor satu pemuda itu tidak dicabar mana-mana calon termasuk penyandangnya, Ahmad Fadhli Shaari yang tidak mempertahankan jawatan itu bagi penggal akan datang.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Muktamar Pas Pusat kali ke-69, Ab. Halim Tamuri, sebentar tadi.

Selain Afnan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Hafez Sabri yang juga bekas Pengarah Pilihan Raya DPPM menang tanpa bertanding bagi jawatan timbalan ketua.

Manakala naib ketuanya pula dimenangi bekas Setiausaha DPPM, Muhammad Hanif Jamaluddin.

Dalam pada itu, bagi pemilihan Ahli Jawatankuasa DPPM pula, seramai seramai 15 calon merebut 12 jawatan yang ditawarkan dalam pemilihan sayap parti, kali ini.

Keputusan bagi AJK DPPM menyaksikan lapan muka lama dan empat muka baharu yang berjumlah 12 kekosongan yang direbut.

Antara AJK DPPM yang berjaya mempertahankan jawatan itu ialah Abdul Malik Ab Razak, Khairul Nadzir Helmi Azhar, Mohd Aizat Zakaria, Muhammad Abdul Malik Abdul Karim, Muhammad Afiq Mazlan, Muhammad Faizuddin Mohd Zai, Muhammad Nazrul Hakim Md Nazir dan Wan Abu Bakar Wan Mahussin.

Manakala empat muka baharu yang membarisi AJK DPPM ialah Yusof Abdul Hadi, Hendri Hamshah, Mohd Harun Esa dan Muhd Khidhir Izaidin. – MalaysiaGazette