Mas Ermieyati Samsudin
Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan membentangkan Laporan Pengurusan Wabak Covid-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Kelengkapan Perlindungan Diri (PPE) pada 30 Oktober ini.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, isu tersebut dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN Tahun 2021 Siri 2, Aktiviti Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-badan Berkanun.

Menurut beliau, PAC telah mengadakan lima prosiding pada 15 Jun, 22 Ogos, 14 September dan 21 September lalu dengan memanggil 12 saksi antaranya Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Pharmaniaga Berhad, Izaddeen Daud.

“Malah, isu ini turut didebatkan oleh ramai Ahli Parlimen ketika membahaskan LKAN semasa Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua, Parlimen ke-15 pada 6 Jun lalu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mas Ermieyati turut memaklumkan, PAC akan memulakan prosiding berhubung Pengurusan Dana Latihan dan Keberkesanan Program Latihan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) pada 23 Oktober ini.

Beliau memberitahu, memandangkan isu itu tidak dilaporkan dalam LKAN, PAC menggunakan punca kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 77 (1) (d), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat untuk mengadakan prosiding tersebut.

“Saksi yang dipanggil untuk prosiding ini ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia, Datuk Amran dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood,” jelasnya.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, prosiding berhubung Menteri Kewangan (Diperbadankan) – Felcra Berhad yang sepatutnya diadakan semalam telah ditangguhkan.

Beliau menambah, ia adalah kerana Pengarah Urusan WZR Property Sdn Bhd, Datuk Wan Nadzir Wan Mohamad tidak dapat hadir kerana berada di luar negara ketika ini.

“Untuk berlaku adil kepada beliau dan syarikat, PAC memerlukan keterangan dan penjelasan Wan Nadzir memandangkan beliau terlibat dengan perkara yang ingin disiasat oleh PAC.

“Susulan itu, saya mohon supaya saksi berkenaan untuk hadir bagi membantu PAC melengkapkan siasatan terhadap isu ini,” katanya. – MalaysiaGazette