LONDON – Masa Jadon Sancho bersama Manchester United sudah berakhir kerana dia kini dikecualikan daripada gambar skuad United musim 2023/2024 yang menjadi bayangan dia mungkin tidak akan kembali ke Old Trafford.
Barisan pemain pasukan utama bergambar di pusat latihan United di Carrington baru-baru ini.
Pemain sayap itu sudah tidak bermain bersama skuad The Red Devils sejak hujung Ogos lalu selepas berselisih dengan pengurus, Erik ten Hag.
Kini dia mungkin tidak akan bermain untuk kelab itu lagi kerana dia terus berlatih bersendirian.
Sancho menuduh pengurus itu berbohong selepas dia diketepikan ketika aksi menentang Arsenal bulan lalu.
Ten Hag mendakwa pemain berkenaan tidak disenaraikan dalam pasukan kerana prestasi buruknya ketika latihan yang menyaksikan Sancho menafikannya menerusi hantaran di media sosial yang kemudiannya telah dipadamkan. – Agensi