Seorang lelaki yang merupakan pengarah sebuah syarikat telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai memberi suapan kira-kira RM17,000 kepada pegawai sebuah kementerian bagi mempercepatkan bayaran tuntutan subsidi ayam dan telur berjumlah kira-kira RM600 juta sejak Mei lalu dan turut ditahan bersamanya ialah seorang pekerja lelakinya yang berusia lingkungan 30-an.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang merupakan pengarah sebuah syarikat telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai memberi suapan kira-kira RM17,000 kepada pegawai sebuah kementerian bagi mempercepatkan bayaran tuntutan subsidi ayam dan telur berjumlah kira-kira RM600 juta sejak Mei lalu.

Sumber memberitahu, turut ditahan bersamanya ialah seorang pekerja lelakinya yang berusia lingkungan 30-an.

Pengarah syarikat berusia lingkungan 40-an tersebut yang juga merupakan presiden persatuan berkaitan penternakan di Subang Jaya telah ditahan kira-kira 6.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi membantu siasatan.

Tambah sumber, bagi tempoh lima bulan sejak Mei lalu, bayaran subsidi yang telah dilunaskan berjumlah RM600 juta melibatkan lebih 300 syarikat penternakan ladang ayam pedaging dan ayam penelur seluruh negara.

Susulan penahanan tersebut, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 22 Oktober ini setelah SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Bagaimanapun, seorang lagi suspek pula dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Dalam padap itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim yang mengesahkan penahanan kedua-kedua suspek tersebut.

Katanya, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.- MalaysiaGazette