KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO hari ini melancarkan Tabung Kemanusiaan Untuk Palestin dengan sasaran sumbangan lebih RM200,000.
Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, tabung tersebut digerakkan di semua 191 bahagian parti seluruh negara demi membantu penduduk Palestin yang kini sedang berhadapan dengan kekejaman Israel.
“Hasil sumbangan akan diserahkan kepada Wisma Putra untuk tujuan penyaluran kepada penduduk Palestin,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Puteri UMNO Kali Ke-4 di sini hari ini.
Nurul Amal berharap semua ahli sayap berkenaan akan menyumbang kepada tabung tersebut.
“Kalau setiap bahagian sumbang lebih kurang RM1,000 kita mungkin akan dapat kumpul sejumlah itu. Semangat Puteri UMNO ini kuat manalah tahu boleh dapat RM500,00,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, beliau berkata, mesyuarat hari ini sepakat untuk mewujudkan Puteri Sambung Belajar.
Jelas beliau, inisiatif berkenaan digerakkan Puteri UMNO untuk ahlinya dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Mengulas lanjut, Nurul Amal berkata, program tersebut selaras dengan usaha memperkasakan Puteri UMNO.
“Puteri UMNO ni kebanyakan berumur 18 hingga 35 tahun, wanita muda lepas sekolah akan sambung belajar dan bila bekerja selalunya usaha tersebut terhenti atau tergendala.
“Jadi UTM menawarkan kerjasama ini dengan dengan masa belajar yang fleksibel. Sambil kerja sambil belajar jadi kenapa tidak,” katanya.- MalaysiaGazette