Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran (lima, kanan) bersama timbalannya Datuk Seri M. Saravanan (lima, kiri) bergambar bersama ahli MIC dari seluruh negeri ini yang menghadiri Konvensyen MIC Negeri Sembilan di Wisma Ceylonese, hari ini. Turut sama, Pengerusi MIC Negeri Sembilan Datuk VS Mogan (empat, kanan).

SEREMBAN – MIC memerlukan pemimpin muda berwibawa yang mampu membantu memperkukuh lagi parti, kata Presiden Tan Sri S. A. Vigneswaran.

Beliau berkata dalam usaha meremajakan parti, pemimpin muda yang diperlukan haruslah dalam kalangan mereka yang memahami arena politik dengan baik.

“Dalam sistem parti, kita tidak boleh semata-mata membawa (masuk) seseorang dan (kemudian) melantik (mereka)… kita mahu generasi muda yang lebih berwibawa. Kita kena tengok dalam semua aspek, (kerana) pemimpin muda yang akan mengambil alih parti ini juga perlulah (pemimpin yang boleh) mengeratkan silaturahim (sesama) ahli,” katanya.

Vigneswaran berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen MIC Negeri Sembilan Ke-77 di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalannya Datuk Seri M. Saravanan dan Pengerusi MIC negeri Datuk VS Mogan.

Sementara itu, beliau berkata bagi memastikan MIC terus kekal relevan, semua cawangan parti itu di seluruh negara perlulah diperkasakan dengan menambah keahlian baharu sekali gus akan memperkuat bahagian. – BERNAMA