Antara pergerakan Pemuda Umno dan penyokong yang hadir pada himpunan Pulangkan Najib ketika di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 21 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Satu himpunan aman berlangsung di pekarangan Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini yang dianjurkan Pergerakan Pemuda UMNO.

Kira-kira 1,000 orang hadir dan rata-ratanya memakai baju putih berteriak agar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diberikan pengampunan diraja dan ‘dipulangkan’ kepada rakyat.

“Pulangkan Najib, pulangkan Najib, pulangkan Najib,” teriak mereka.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, himpunan aman itu bagi merayu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberikan pengampunan diraja kepada Najib.

“Kita mohon Yang di-Pertuan Agong berikan pengampunan jika melihat ketidakadilan kepada Najib dan sudah tentunya Najib perlu dipulangkan semula kepada keluarga dan rakyat.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berucap pada himpunan Pulangkan Najib ketika di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 21 OKTOBER 2023.

“Kita mohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menilai sebaik-baiknya. Kita percaya atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menilai situasi ini dan saya percaya ini adalah suara majoriti rakyat Malaysia yang mahukan keadilan kepada negarawan yang banyak berjasa kepada rakyat,” katanya dalam sidang media selepas himpunan itu tamat 2.30 petang.

Hadir sama adalah anak kepada Najib, Datuk Mohd Nazifuddin Najib.

Himpunan yang bermula 2 petang itu bagaimanapun terpaksa dihentikan kerana tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.

“Kita tidak ada permit jadi kita akur. Bila polis datang kepada kami dan kami akur dan kami nak ucapkan terima kasih kepada polis yang sentiasa memberikan sokongan. Kami faham tidak ada permit tapi kami akur,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Dr Akmal berkata, pihaknya sedang menunggu tarikh untuk sesi penyerahan 1.1 juta petisyen ‘Pulangkan Najib’ bagi pengampunan Najib.

“Kita telah kumpulan petisyen secara dalam talian dan sehingga hari ini petisyen ini telah mendapat 1.1 juta tandatangan.

“Kesemua tandatangan ini kita akan serahkan kepada pihak Istana Negara dan YDA untuk timbang tara, rakyat dan raja berpisah tiada,” jelasnya lagi.

Himpunan turut mendirikan solat hajat bagi penduduk Gaza serta bacaan Yasin. – MalaysiaGazette