SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan mewakili State-Government-4 (SG4) sama ada Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis dalam urusan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Samsuri Mokhtar berkata, walaupun Dr Mahathir merupakan penasihat kepada SG4 namun urusan rundingan termasuk menarik pelaburan asing melibatkan Menteri Besar dan Exco masing-masing.
“Nama pun penasihat, dia tidak berada dalam organisasi, ia adalah pro bono dan apabila kami kerajaan negeri sama dengan kerajaan pusat berbincang sama ada melalui MIDA, MITI atau ECER mahupun NCER tidak dilibatkan penasihat-penasihat ini.
“Masih lagi organisasi biasa kerajaan negeri, menteri besarnya dan lain-lain Exco peringkat kerajaan negeri.
“Tidak timbul menzahirkan Dr Mahathir untuk ke hadapan berkomunikasi dengan kerajaan pusat, tidak berlaku macam itu,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini hari ini.
Terdahulu beliau hadir bagi mendengar sesi perbahasan ucapan Dasar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Muktamar Tahunan Pas kali ke-69.
Hadir sama Menteri Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud; Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Dalam pada itu, Samsuri juga terbuka kepada mana-mana pihak untuk memberi nasihat, cadangan mahu nasihat kepada SG4 meskipun daripada musuh politiknya.
“Ini merupakan nilai tambah yang kita nak capai dan saya sangat terbuka untuk mendapatkan mana-mana nasihat atau pandangan mana-mana pihak yang ingin memberikan pandangan, cadangan atau pun nasihat
“Termasuk kalau Tan Sri Lim Kit Siang sendiri nak beri pandangan, idea-idea kita terbuka, nak tunjuk begitulah kita terbuka.
“Ia mengatasi politik sebab kalau kita nak cakap pasal politik setiap masa, pagi petang siang malam, 24 jam seminggu, tak boleh buat itu kerana ada perbezaan politik, saya rasa negeri di Malaysia tidak boleh bergerak ke hadapan.
“Kita nak tunjuk kepada orang awam dan kerajaan Malaysia perkara ini mesti mengatasi politik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette