Jenazah Allahyarham Muhammad Izzat diusung masuk ke Jabatan Forensik Hospital Yangon.

YONGON – Keputusan hasil bedah siasat mangsa pemerdagangan manusia yang meninggal dunia di Myanmar, Muhammad Izzat Abdul Wahad akan diketahui esok.

Abang mangsa, Muhammad Hasmanizam, 45, berkata, keputusan tersebut akan dimaklumkan selewat-lewatnya pada tengah hari esok kepada pihak Kedutaan Malaysia di Myanmar.

“Proses bedah siasat dijalankan dan semua sampel telah diambil, sepatutnya selesai semua semalam.

“Kami dimaklumkan keputusan akan diperoleh hari esok (Isnin) oleh pihak Hospital Yangon,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui hari ini.

Muhamad Hasmanizam turut berpuas hati selepas proses bedah siasat dijalankan lebih awal daripada yang dijadualkan.

Beliau sekeluarga kini menantikan keputusan permohonan untuk membawa pulang dan mengebumikan jenazah adik bongsunya di tanah air.

Mayat Allahyarham Izzat dibawa dari Hospital Taichiliek pada Rabu lalu, tiba di sini pada malam Jumaat, jam 8.30 malam waktu Myanmar setelah dibawa melalui jalan darat sejauh 2,000 kilometer.

Mayat Muhammad Izzat telah dibuat  pengecaman oleh dua abang kandung, Muhammad Hasmanizam dan Muhammad asmawi di Jabatan Forensik Hospital Yangon pada pagi semalam.

Proses membawa jenazah Allayharham disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Pahang sebanyak RM25,000, selain menyediakan pengangkutan untuk membawa jenazah ke Kuatan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur nanti.

Allahyarham akan dikebumikan di Peramu, Kuantan.

Allahyarham Muhammad Izzat, 28, meninggal dunia ketika dalam tahanan di Pusat Imigresen di Taichileik, Myanmar selepas berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia oleh wakil sebuah pertubuhan kemanusian pada 14 Oktober lalu.

Arwah merupakan anak bongsu daripada lapan beradik, meninggalkan seorang balu, Nurul Diyana Mohd Shukri, 27 tahun dan dua anak lelaki berusia enam dan empat tahun. – MalaysiaGazette