RIYADH – Putera Mahkota Mohammed bin Salman berkenan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada tahun depan, selaras dengan persetujuan Arab Saudi dan Malaysia untuk meningkatkan hubungan serta kerjasama ekonomi dan diplomatik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Putera Mahkota Mohammed menganggap Malaysia sebagai rakan strategik dan bersetuju agar jalur ekonomi dan diplomatik kedua-dua negara diberi tumpuan yang serius.

“Dari segi ekonomi, baginda bersetuju kerjasama perdagangan dan pelaburan ditingkatkan manakala aspek diplomatik, ia meliputi isu pertahanan dan keselamatan.

“Justeru, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dipertanggungjawabkan untuk mengetuai jalur ekonomi manakala Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengetuai jalur diplomatik,” kata Perdana Menteri pada sidang media bersama wartawan Malaysia.

Terdahulu, Putera Mahkota Mohammed yang juga Perdana Menteri Arab Saudi berkenan menerima menghadap Anwar untuk mengadakan pertemuan rasmi empat mata di Istana Al-Yamamah.

Putera Mahkota Mohammed kemudian berkenan mengetuai Jemaah Menteri Arab Saudi untuk bertemu delegasi Malaysia yang diketuai Anwar sebelum mereka dijemput menghadiri majlis santapan bersama baginda.

Anwar berkata Malaysia dan Arab Saudi sepakat  tumpuan serius diberikan juga kepada kerjasama meningkatkan pelaburan dalam pelbagai bidang merangkumi pendidikan, pelancongan, teknologi maklumat serta teknologi tinggi seperti tenaga hijau di Arab Saudi.

Mengenai Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang berakhir pada Jumaat, Perdana Menteri berkata blok Asia Tenggara menjadi ikhtiar baharu bagi GCC untuk memacu pertumbuhan tinggi di rantau itu.

“Sinergi antara dua rantau itu tanpa campur tangan negara besar akan memberi kita peluang kerjasama dalam beberapa bidang termasuk tenaga hijau yang selaras dengan pelan perindustrian negara,” kata beliau.– BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast