Foto Instagram Annil Vigneswaran.

KUALA LUMPUR – Pemain muda negara, Annil Vigneswaran terus mencipta nama dalam saingan liga bola sepak Jerman apabila dia sah menyertai salah sebuah kelab yang beraksi di liga divisyen tiga negara itu.

Perkembangan terkini itu dikongsikan oleh Annil menerusi laman media sosial Instagram miliknya.

Pemain berusia 20 tahun itu menyertai SV Waldhof Mannheim 07 dan akan beraksi bersama skuad B-21 tahun kelab tersebut.

“Selepas kerja keras dan banyak pengorbanan, akhirnya saya gembira kerana dapat menyertai skuad B-21 Tahun SV Waldhof Mannheim 07 untuk baki musim ini. Terima kasih kepada ejen saya dan semua orang yang menjadikan perpindahan ini kenyataan. Sudah tiba masa untuk bekerja lebih keras dan berjuang,” katanya.

Sebelum ini, Annil beraksi bersama satu lagi kelab yang juga beraksi dalam saingan divisyen tiga Jerman iaitu SV Sandhausen.

Selain itu, pemain kelahiran Kajang, Selangor ini pernah beraksi dengan beberapa kelab Jerman lain seperti SGV Freiberg dan Freiburger FC.

Sebelum ini, Annil pernah dipanggil untuk beraksi bersama skuad B-22 tahun negara kendalian Brad Maloney untuk menghadapi saingan peringkat kelayakan AFC B-23 tahun di Ulan Bator, Mongolia pada tahun 2021 lalu.

Pemilihan beliau dalam skuad B-22 Tahun negara ketika itu mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat dan Brad kemudiannya menjelaskan mengapa dia membawa Annil ke Mongolia.

“Penolong jurulatih, Khan Hung Meng pernah melatih pemain ini sebelum dia ke Jerman beberapa tahun yang lalu dan dia dilihat sebagai seorang pemain yang berbakat besar dan sejak itu, prestasinya sudah pun mula dipantau,” jelas Maloney. – MalaysiaGazette