Peguambela, Gobind Singh bercakap kepada media mengenai anak guamnya yang merupakan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika keluar dari mahkamah selepas membayar ikat jamin atas pertuduhan berhubung skandal terowong bawah laut di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 07 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan kes rasuah projek terowong dasar laut dan jalan utama Pulau Pinang membabitkan Lim Guan Eng membuat permohonan untuk mendapatkan salinan penyataan salah seorang saksi utama, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Penyataan yang dimohon itu ialah salinan keterangan Zarul yang direkodkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes rasuah itu.

Dalam prosiding hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi, peguambela Gobind Singh Deo berkata, terdapat percanggahan serius berhubung keterangan yang diberikan oleh saksi ke-23 itu berkaitan pemberian wang tunai yang bernilai RM2 juta kepada seorang ahli perniagaan, G. Gnanaraja.

Permohonan itu juga hujah Gobind perlu bagi pihaknya memulakan prosiding mencabar kredbiliti Zarul sebagai saksi dalam kes tersebut.

“Yang Arif, wujud percanggahan serius yang boleh memberi kepada kes anak guam kami. Penyataan yang diberikan oleh saksi Zarul Ahmad bercanggah dan kami mohon cabar kredibilitinya mengikut Sesyen 145 Akta Keterangan 1950,” katanya.

Gobind juga memberi bayangan kemungkinan saksi berbohong pada perbicaraan apabila saksi-saksi lain mendakwa penyerahan wang bernilai RM2 juta dan bukannya RM4 juta seperti didakwanya semalam.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pula memohon agar permohonan itu ditolak.

Kata Wan Shaharuddin, permohonan itu tidak mengikut prosedur yang betul dan kemungkinan hanya untuk memancing maklumat daripada saksi.

Untuk makluman, semalam Zarul ketika pemeriksaan balas mendakwa  telah membayar wang RM2 juta yang dikeluarkan melalui cek kepada Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang melalui Gnanaraja dan RM2 juta tunai lagi kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dakwa Zarul, wang itu sepatutnya diberikan kepada Najib untuk menutup siasatan SPRM terhadap syarikatnya, Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZCSB) iaitu syarikat yang dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Azura kemudian menetapkan 2 November ini bagi keputusan permohonan itu selepas membaca dan meneliti perkara tersebut.

Ketika ini, Guan Eng sedang berdepan pertuduhan menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu CZBUCG melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan itu. -MalaysiaGazette